Khamis, 11 Julai 2019 | 9:08pm
WAN Sukairi (kiri) bersalaman dengan peserta pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu setahun sebelum menjelang SUKMA XX Johor 2020 di Stadium Tertutup Gong Badak. NSTP/Rozainah Zakaria
WAN Sukairi (kiri) bersalaman dengan peserta pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu setahun sebelum menjelang SUKMA XX Johor 2020 di Stadium Tertutup Gong Badak. NSTP/Rozainah Zakaria

Terengganu sudah bersiap hadapi SUKMA 2020

Oleh Malik Muhamad

[email protected]

Foto: Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Terengganu melaungkan keyakinan awal untuk mempertahankan gelaran itu buat kali keenam yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai tahun depan.

Bagi memastikan impian itu tercapai, menjelang 365 hari sebelum sukan terbesar di negara itu membuka tirainya musim depan, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengambil inisiatif dengan mengadakan Perhimpunan Kontinjen Terengganu Menjelang 1 Tahun SUKMA ke-20 di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Perhimpunan yang dihadiri seramai 667 atlet, jurulatih dan pegawai pasukan masing-masing itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Beli, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Turut hadir Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Wan Sukairi berkata, keyakinan untuk mempertahankan kejuaraan itu berdasarkan sebahagian besar atlet yang menyumbang pingat pada musim lalu masih lagi layak beraksi pada tahun depan.

“Menjelang setahun sebelum SUKMA berlangsung, walaupun kita belum menamakan secara rasmi ketua kontinjen, tapi kita bergerak terlebih dahulu bagi menaikkan semangat atlet dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan sebagaimana musim lalu.

“Perhimpunan ini juga penting bukan saja kepada atlet malah jurulatih supaya mereka terus konsisten melatih dan bersungguh-sungguh untuk memberikan hasil yang terbaik kepada Terengganu. Namun begitu setakat ini kita belum meletak sasaran jumlah emas,” katanya.

Menurut Wan Sukairi, antara sukan yang bakal menjadi lubuk emas Terengganu adalah basikal, kanu dan pelayaran selain 27 lagi jenis sukan yang bakal disertai. Kini pelatih sudah berada dalam fasa kedua sebelum fasa ketiga iaitu fasa terakhir membabitkan 30 jenis sukan,” katanya.

Musim lalu, Nur Aisyah Mohamad Zubir muncul atlet paling cemerlang dalam acara berbasikal selepas meraih tujuh emas, manakala Azreen Nabila Alias mengungguli acara 100, 200 dan 4x100 meter (m) untuk dinobat sebagai Olahragawati selain berjaya memecah rekod baharu dalam acara pecut 100m dengan catatan 11.81s memadamkan rekod Siti Fatima Mohamad pada SUKMA 2008 (11.82s).

Berita Harian X