Selasa, 23 Julai 2019 | 6:17pm

Percutian ke London menunggu peserta larian LEGASI Run 2019

KUALA LUMPUR: Peserta acara larian ‘LEGASI Run’ 2019 yang akan berlangsung di Taman Botani, Putrajaya pada 20 Oktober depan berpeluang memenangi cabutan bertuah pakej percutian ke London.

Program berkenaan antara lain bagi mengutip dana untuk mengisi Tabung Kemanusiaan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) serta Tabung Bersamamu TV3, selain disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Ia adalah acara larian yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) bagi menggalakkan masyarakat beriadah sambil beramal.

Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan, berkata pakej percutian empat hari tiga malam untuk dua orang itu merangkumi tiket penerbangan pergi balik, penginapan, lawatan sehari ke London serta pengangkutan pergi dan balik ke lapangan terbang di kota berkenaan.

“Acara larian ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat selain mengajak orang ramai beriadah sambil beramal, memupuk semangat perpaduan serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan bagi melahirkan legasi keluarga dan masyarakat berkualiti.

“Program ini juga bagi mengutip dana mengisi Tabung Bersamamu, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP Humanitarian Fund serta NASOM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acara dibahagikan kepada dua kategori, iaitu 3 kilometer (km) dan 10km yang dipecahkan kepada empat sub kategori.

Yuran pendaftaran bagi 3km ialah RM55, manakala peserta larian 10km dikenakan yuran RM65. Pakej keluarga, iaitu ibu bapa dan dua anak berusia 12 tahun ke bawah dikenakan RM100.

Program menawarkan hadiah bernilai RM800 untuk pemenang pertama, RM600 untuk tempat kedua dan RM400 ketiga.

Jefridin berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dijangka hadir memeriahkan larian berkenaan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengasas dan penaung LEGASI.

Mereka yang berminat perlu mendaftar sebelum tarikh tutup 10 September depan dan penyertaan terhad kepada 3,000 peserta.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui www.racexasia.com dan untuk maklumat lanjut, hubungi 019-9368396 atau 012-9777739 serta laman web www.legasirun.com.

Berita Harian X