Rabu, 24 Julai 2019 | 10:11pm
TIMBALAN Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama (enam dari kanan) dan Presiden UMW Toyota, K Ravindran bergambar bersama selebriti pada majlis pelancaran media TGR di Subang Jaya. NSTP/Aizuddin Saad

Festival TGR musim 3 bermula September

PETALING JAYA: Sambutan meriah Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) dua musim lalu menyaksikan UMW Toyota Motor Sdn Bhd meneruskan acara untuk musim ke-3 bermula September ini.

TGR musim ke-3 bakal menyaksikan empat pusingan menerusi lapan perlumbaan Toyota Vios Challenge yang akan bermula di Terengganu sebelum berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagi perlumbaan Vios Challenge, musim baharu masih mengekalkan tiga kelas perlumbaan iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting.

Perlumbaan musim ke-3 tidak hanya terhad di atas litar, malah turut merangkumi perlumbaan secara maya menerusi siri Gazoo Racing Velocity E-Sport yang mula diperkenalkan sejak September tahun lalu.

Antara elemen baharu Festival TGR untuk peminat sukan permotoran dan kereta adalah Gazoo Racing Outlet yang akan mempamerkan barisan model istimewa dan diinspirasikan dari perlumbaan Toyota termasuk Gazoo Racing Supra.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama, berkata Festival TGR tidak hanya menjadi platform menjual lebih banyak kereta, malah adalah untuk meraikan kejayaan Toyota dan Gazoo Racing dalam sukan permotoran global.

“Dengan TGR, hala tuju global Toyota menjangkaui had menerusi pembabitan dalam sukan permotoran dan menterjemahkan usaha membangunkan produk lebih baik dan keupayaan dan kreativiti,” katanya selepas majlis pelancaran media TGR di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden UMW Toyota, K Ravindran.

Untuk Vios Challenge khususnya kelas Promotional, dua selebriti baharu akan berentap iaitu Shafiq Kyle dan Ain Endruce untuk bersaing dengan artis lain seperti Shukri Yahya, Shawn Lee, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Janna Nick dan Diana Danielle.

Antara penaja TGR musim ke-3 termasuk Toyo Tires, Denso, TRD Asia, Moty’s, Enkei, M7 dan Toyota Capital Malaysia.

Festival TGR musim lalu berjaya menarik 80,000 peminat dan 1.1 juta penonton dalam talian.

Berita Harian X