Jumaat, 26 Julai 2019 | 5:10pm
Wan Ahmad Saifuddin (belakang, tengah) bergambar bersama wakil anak Orang Asli Seletar sempena Majlis Perasmian Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) di Pusat Akuatik Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Wan Ahmad Saifuddin (belakang, tengah) bergambar bersama wakil anak Orang Asli Seletar sempena Majlis Perasmian Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) di Pusat Akuatik Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

EduCity rekrut anak Orang Asli sertai sukan renang

ISKANDAR PUTERI: EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) merekrut 34 anak Orang Asli Seletar untuk menyertai sukan renang menerusi Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) di Pusat Akuatik Kompleks Sukan EduCity, dekat sini.

Program pembangunan bakat itu yang julung kali diadakan di negeri ini turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri dan Sports Johor Sdn Bhd.

Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi, berkata program yang dikendalikan enam jurulatih renang itu berlangsung selama setahun bermula 12 Julai lalu dengan kelas renang itu diadakan pada Jumaat setiap minggu.

Katanya, program itu berpandukan kepada tiga teras pembangunan iaitu program latihan elit, klinik kejurulatihan dan pertandingan.

"Program bersifat inklusif ini membabitkan kanak-kanak Orang Asli Seletar berusia sembilan hingga 17 tahun. Etnik Seletar adalah satu daripada 18 etnik Orang Asli di Malaysia yang penempatannya terletak berhampiran dengan kawasan Iskandar Puteri.

"Selepas tempoh setahun, EduCity akan melihat kepada keupayaan peserta untuk menyertai pertandingan, selain turut mengalu-alukan syarikat korporat untuk bekerjasama bagi penambahbaikan program sukan renang pada masa depan," katanya pada sidang media selepas perasmian program berkenaan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Saifuddin berkata, inisiatif itu membolehkan mereka mencari bakat renang yang boleh diketengahkan ke peringkat elit, manakala klinik kejurulatihan renang dan pertandingan novis memberi ruang kepada pelajar sekolah di sekitar Iskandar Puteri untuk mempelajari asas sukan renang.

Katanya, EduCity mendokong hasrat kerajaan negeri dalam membangunkan sukan di Johor di samping menyumbang kepada penghasilan bakat baharu sukan renang menjelang Sukan Malaysia (SUKMA 2020) tahun depan.

"Sebelum ini, sudah ada atlet SUKMA yang lahir daripada program renang yang diadakan di EduCity dan tidak mustahil kali ini kita mampu melahirkan perenang bertaraf antarabangsa dalam kalangan Orang Asli Seletar menerusi program yang dirancang," katanya.

Berita Harian X