Ahad, 28 Julai 2019 | 10:01pm
Pemanah recurve para negara S Suresh kembali ke lapang sasar dengan menyertai Kejohanan Memanah Kebangsaan kali ke-43, hari ini. - NSTP/Aziah Azmee

Suresh kembali ke lapang sasar

KUALA LUMPUR: Selepas memperoleh gelaran dunia pada awal bulan ini, pemanah recurve para negara S Suresh kembali ke lapang sasar dengan menyertai Kejohanan Memanah Kebangsaan kali ke-43 hari ini dia bersaing dengan atlet-atlet biasa.

Pemanah berumur 25 tahun yang mewakili pasukan Para Malaysia itu bagaimanapun berkata dia tidak berpuas hati dengan panahan yang dilakukannya apabila tewas 6-4 kepada pemanah Sarawak, Bryson Ting dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Acara recurve lelaki menyaksikan pemanah dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tengku Wira Raja Yahya menewaskan rakan sepasukan, Zainudin Abdul Rashid untuk meraih pingat emas.

"Jika diikutkan daripada segi panahan, saya masih belum berpuas hati dengan mata yang saya peroleh kerana baru sahaja seminggu menjalani latihan selepas tamatnya program Bakat,” kata Suresh.

“Pada masa sama, pencapaian hari ini adalah yang terbaik bagi saya sepanjang enam kali penyertaan dalam kejohanan ini dan bertanding dengan atlet biasa yang lain."

Suresh mendapat tumpuan selepas membawa pulang pingat emas acara recurve lelaki terbuka dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, di Hertogenbosch, Belanda pada awal bulan ini sekali gus menempah tempat ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. 

Suresh berkata dia akan menyertai Kejohanan Memanah Para Kebangsaan yang akan diadakan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan bulan depan sebelum bertolak ke Tokyo bagi menjalani program latihan selama 10 hari. 

"Kejohanan Memanah Para Kebangsaan itu nanti bakal menjadi medan pemilihan pemanah ke Kejohanan Para Memanah Asia di Bangkok," katanya yang bergandingan bersama Hasihin Sanawi dan Ahmad Jaffry Jamaluddin dalam acara recurve berpasukan dan memenangi pingat perak buat Para Malaysia. 

Berita Harian X