Khamis, 15 Ogos 2019 | 6:27pm
AALIYAH Yoong Hanifah. - Foto Eizairi Shamsudin

Aaliyah gagal ke final slalom

 

PUTRAJAYA: Peluncur ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah hampir menyamai rekod peribadi terbaiknya tetapi terlepas untuk mara ke final acara slalom terbuka wanita pada Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini. 

Peluncur berumur 16 tahun yang diletakkan sebagai peluncur pertama perlu mempamerkan aksi mengakhiri saingan dengan berada di tempat ke-22 selepas berjaya melepasi dua boya pada kelajuan 55 kilometer sejam dengan menggunakan panjang tali 12 meter (2.0/55/12.0).

"Kurang sedikit sahaja daripada catatan terbaik saya iaitu 2.5 (55/12.0). Ia adalah hampir tetapi mata yang baik untuk dikumpulkan bagi kedudukan keseluruhan," katanya, di sini, hari ini.

Juara dunia dua kali, Manon Costard dari Perancis mendahului pusingan kelayakan hari ini dengan mencatatkan 3.0/55/10.75.

Aaliyah berkata, beliau berharap dapat menggunakan peluang terakhir beraksi dalam acara tricks esok bagi membolehkannya mara ke final hujung minggu ini.

"Esok adalah sasaran untuk saya melakukan terbaik. Saya sudah bersedia cuma saya perlu banyakkan lagi visual dengan semalam saya berkesempatan untuk mengadakan latihan. 

"Secara teknikalnya saya perlu lebih menyerlah dan mungkin saya akan ada peluang ke final tricks," katanya.

Seorang lagi peluncur negara, Nur Nadiah Hanani Md Nasir mengakhiri saingan slalom di tempat ke-39 dengan keputusan 1.50/55/18.25.

Dalam acara lompatan, Aaliyah yang terdahulu melakukan 37.2 meter sekadar menduduki tempat ke-16 dengan baki lapan lagi peluncur terpaksa bersaing esok disebabkan hujan lebat di Putrajaya.

 

 

Berita Harian X