Selasa, 20 Ogos 2019 | 10:36pm
PEMAIN Golf dari Filipina, Miguel Tabuena. - Foto AFP

Tabuena sasar kedudukan lebih baik golf PGM Northport

KUALA LUMPUR: Pemain Golf dari Filipina, Miguel Tabuena mensasarkan kedudukan lebih baik pada Kejohanan PGM Northport ADT di Glenmarie Golf and Country Club di Shah Alam, yang bermula Rabu.

Selepas berjaya menduduki tempat kelima di Kejohanan Golf Sarawak di Kuching, minggu lalu pemain berusia 24 tahun itu berharap, dapat memperbaiki lagi keputusan itu di kejohanan ketiganya di Malaysia tahun ini.

“Saya bermula di situ, dan ia sesuatu yang bagus untuk bermain semula di kelab yang pernah kita main sebelum ini,” kata Tabuena di laman web jelajah Asia; www.asiantour.com/adt.

Pemenang Jelajah Asia dua kali itu, gagal mengekalkan prestasi baiknya musim ini selepas mengalami kecederaan di kakinya di Kejohanan Maybank pada Mac.

“Ia seperti terkena kejutan elektrik pada kaki kanan saya, dan saya rasakan kebas yang amat sangat. Tetapi, kecergasan saya tetap ada, dan saya tidak sabar untuk pergi. Jadi walaupun saya dijemput peganjur, saya di sini untuk menang,” tambah Tabuena yang menamatkan Kejohanan Maybank 2016 di tempat kedua.

Pemenang dua kali, Danny Chia dan Ben Leong akan membawa cabaran Malaysia di Kejohanan PGM Northpot ADT itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM225,000.

-- BERNAMA

Berita Harian X