Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:59pm
AZIZULHASNI Awang dan Shah Firdaus Sahrom. - Foto Eizairi Shamsudin

Saingan sengit di GP Trek Asia Tenggara

 

KUALA LUMPUR: Selain saingan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom yang pastinya dinantikan ramai, perebutan gelaran ratu pecut pada Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara esok juga tidak kurang menariknya.

Azizulhasni akan bertanding di bawah pasukan sendiri, Team Azizul dan Shah Firdaus pula mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) masing-masing dalam usaha untuk memperoleh mata maksimum dalam misi membaiki ranking dunia masing-masing menuju ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo. 

Bagi acara keirin, Azizulhasni kini di ranking enam dunia sementara Shah Firdaus ke-23, dengan hanya tujuh pelumba terbaik dunia akan memperoleh tiket ke Tokyo.

Tanpa penyertaan pelumba hebat dari Jepun pada kejohanan kali ini, Azizulhasni dan Shah Firdaus juga berpeluang menyerlah dalam acara pecut terutama selepas baru sahaja pulang dari menjalani latihan di Eropah selama dua bulan.

Bagi ketua jurulatih berbasikal kebangsaan, John Beasley dia yakin bekas jaguh wanita, Fatehah Mustapa akan kembali memegang gelaran sebagai pelumba terbaik negara selepas prestasinya merosot sejak 2016 sekali gus digugurkan daripada skuad Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Pada Isnin lalu adalah kali pertama saya lihat dia kembali di trek selepas beberapa bulan tidak berjumpa dan saya sangat gembira melihatnya ... Sekurang-kurangnya saya lihat dia gembira semula, tidak seperti sebelum ini ada saat di mana saya bimbang dia tidak gembira. Saya rasa dia berada dalam keadaan baik buat masa ini," katanya.

Beasley berkata, Fatehah kelihatan hilang sedikit ototnya sebelum ini namun masih percaya pelumba itu mampu beraksi dengan baik pada kejohanan dua hari ini.

"Fatehah mempunyai bakat besar dan bakat itu tidak pernah hilang. Apa yang bagus mengenai Fatehah adalah dia seorang yang sangat bijak, sama seperti Azizulhasni. 

“Ia agak mengecewakan buat saya melihatnya sekarang tetapi dia tidaklah terlalu jauh ketinggalan jika mahu kembali menjadi juara Sukan Asia atau Sukan Komanwel. Satu-satunya perkara yang menghentikannya adalah dirinya sendiri," katanya.

Pelumba YSD, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi yang menjalani latihan di Mellbourne menjadi pesaing buat Fatehah pada saingan Grand Prix yang akan bermula esok dengan acara pecut menjadi tumpuan.

Berita Harian X