Jumaat, 23 Ogos 2019 | 10:01pm
PASUKAN MASUM meraikan kejayaan mempertahankan kejuaraan bola sepak SIPMA selepas menewaskan MSPM di Stadium UNITEN, Bangi petang tadi.

MASUM pertahan kejuaraan bola sepak SIPMA

BANGI: Pasukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) mempertahankan kejuaraan bolasepak Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) pada aksi akhir di Stadium UNITEN, di sini, petang tadi.

Zarul Aidiel Abdul Aziz muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum perlawanan masa sebenar berakhir sekaligus membolehkan MASUM mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada edisi ke-7 dua tahun lalu.

Bagaimanapun aksi pertembungan kedua-dua pasukan agak seimbang dan mendebarkan apabila MASUM terlebih dahulu menjaringkan gol pertama pada minit ke-27 menerusi Lokman Hakim Saifuddin.

Namun MSPM bangkit kembali pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohamad Hazwan Tamin pada minit ke-78.

Pada ketika pegawai dan pemain MPSM sedang mencongak aksi masa tambahan, kelalaian benteng pertahanan menyaksikan pintu gol mereka bolos dua minit sebelum saingan berakhir.

“Pemain-pemain kepenatan selepas mengharungi jadual perlawanan yang begitu ketat termasuk beraksi pada masa tambahan kelmarin serta penentuan sepakan penalti.

Namun kami bernasib baik mempunyai pemain-pemain muda yang bersemangat untuk mencipta kejayaan apabila diberikan peluang,” kata pengendali MASUM, Ridzuan Abu Shah, selepas perlawanan.

Berita Harian X