Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:27pm
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (tengah) menyampaikan trofi Juara Keseluruhan Kejohanan SIPMA ke 8 Selangor 2019 kepada Ketua Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM), Razuki A. Rahim (tiga kanan) pada Majlis Penutup Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 di UNITEN. - Foto Rosela Ismail

MSSM gah juara keseluruhan SIPMA 2019

BANGI: Angka lapan menjadi tuah buat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) apabila dinobatkan juara keseluruhan buat kali kelapan berturut-turut pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019.

Ia bukan saja kejuaraan kelapan buat MSSM, tetapi angka lapan turut membabitkan lapan kontinjen bertanding, lapan jenis sukan, acara yang berlangsung selama lapan hari dan temasya berlangsung pada bulan Ogos.

Pada kejohanan yang berlangsung sejak 17 Ogos lalu, MSSM berjaya mengutip 40 pingat emas, 35 perak dan 22 gangsa, menjadikan 97 jumlah pingat berjaya dipungut kontinjen MSSM.

MSSM turut unggul apabila tujuh daripada atlet mereka menjadi sebahagian daripada yang mencipta rekod baharu kejohanan membabitkan dua jenis sukan iaitu olahraga dan renang.

Gelaran naib juara keseluruhan menjadi milik Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) dengan kutipan 29 emas, 24 perak dan 19 gangsa manakala tempat ketiga menjadi milik Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan 22 (emas), 28 (perak) dan 31 gangsa.

Ketua kontinjen MSSM, Razuki A Rahim berkata pungutan pingat pada edisi kali ini adalah lebih banyak berbanding temasya sebelum ini selain menafikan dakwaan tiada saingan diberikan daripada kontinjen lain dalam edisi kali ini.

“Bukan bermakna kita tidak digugat langsung, tetapi kita memiliki atlet yang berlatih sepanjang tahun untuk menyertai kejohanan tertentu yang ada lapan sukan dalam SIPMA.

“Ada juga atlet kita yang baru balik dari Semarang (Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN) dan sebagainya. Kita tahu kita mempunyai kekuatan dalam olahraga dan renang, tapi acara berpasukan kita berdepan cabaran sengit.


Juara Keseluruhan Kejohanan SIPMA ke 8 Selangor 2019 dimenangi oleh Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) pada Majlis Penutup Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 di UNITEN. - Foto Rosela Ismail

“Tahun ini kita mendapat 40 pingat emas berbanding dua tahun lalu dengan 39 emas tetapi kita masih kekalkan dan bergelar juara buat kali kelapan,” kata Razuki yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika ditemui pada Majlis Penutup SIPMA 2019 yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dekat sini, hari ini.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Gazali Abas. Hadir sama, Naib Canselor UNITEN, Datuk Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Pada temasya SIPMA kali ini, seramai 2,500 atlet, pegawai dan sukarelawan terbabit secara langsung serta berjaya menghimpunkan lapan kontinjen majlis sukan di bawah KPM.

Lapan kontinjen berkenaan adalah MSSM, MASUM, MASISWA, Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM), Majlis Sukan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM) dan Majlis Sukan Kolej Vokasional Malaysia (MASKoV).

Penyertaan atlet negara khususnya olahraga (Muhammad Aqil Yasmin - MASUM), Khairul Hafiz Jantan - MSSM), skuasy (Aika Azman - MASUM) dan Chan Yiwen (MASISWA) selain renang membabitkan Welson Sim Wee Sheng (MASUM) serta Tia’aFang Der (MASISWA) berjaya mewujudkan saingan yang sengit dalam kalangan atlet muda berusia 23 tahun ke bawah.

Untuk rekod, SIPMA 2019 berlangsung pada 17 hingga hari ini sekitar Lembah Klang dan mempertandingkan lapan jenis sukan iaitu badminton, bola sepak, olahraga, renang, hoki, skuasy, tenpin boling dan bola jaring yang dipertandingkan buat pertama kali, sekali gus menawarkan 93 pingat emas secara keseluruhan.

Berita Harian X