Rabu, 28 Ogos 2019 | 9:14pm
Jurulatih kebangsaan Gimnastik Artistik, Tan Jia En (kanan) dan Nataliya Sinkova. - NSTP/Aziah Azmee

Jerman medan ujian skuad gimnastik artistik wanita negara

KUALA LUMPUR: Kejohanan Gimnastik Dunia di Jerman, Oktober depan menjadi misi serampang dua mata buat ketua jurulatih skuad gimnastik artistik wanita negara, Nataliya Sinkova.

Ini kerana kejohanan itu bukan saja menjadi kayu pengukur terhadap peluang Malaysia menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan buat atlet wanita di Sukan SEA Filipina 2019.

Malah, kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 7 Oktober itu juga menjadi medan buat tiga ratu gimnas negara Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh mengutip sebanyak mungkin mata untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya mahu mereka mengumpul sebanyak mata yang boleh di kejohanan dunia itu nanti. Mereka perlu mengumpul sekurang-kurangnya 52 mata untuk layak ke Olimpik," kata Nataliya.

"Apa yang penting adalah mempamerkan rutin yang menarik. Sudah beberapa kali atlet kita hampir berjaya namun kesilapan kecil membuatkan kita berputih mata jadi apa yang kami perlukan kali ini adalah tuah," katanya.

Mengulas mengenai persaingan di Sukan SEA Nataliya berkata, antara negara yang perlu di beri perhatian adalah dari Indonesia, Singapura dan Vietnam. 

Selain Farah, Tracie dan Ing Yueh, skuad negara ke Filipina akan turut disertai Rachel Yeoh Li Wen dan Nur Azira Aziri.

Manakala skuad lelaki akan dibarisi Jeremiah Loo Phay Xing, Tan Fu Jie, Chau Jern Rong dan Zul Bahrin Mat Asri.

Pada edisi 2017 Kuala Lumpur, skuad gimnastik artistik negara turut menggondol empat pingat emas.

Berita Harian X