Jumaat, 6 September 2019 | 10:03pm
PENERJUN Negara, Mohd Syafiq Puteh bersama Gabriel Gilbert (tengah) memenangi pingat emas pada acara 3 Meter Papan Anjal Seirama Lelaki pada Kejohanan Piala Terjun Asia yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Malaysia cemerlang raih 3 emas Terjun Piala Asia

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara bermula langkah kanan apabila merangkul tiga pingat emas dan dua pingat perak daripada lima acara final yang dipertandingkan pada hari pertama Piala Terjun Asia kali kelapan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Penerjun negara, Muhd Syafiq Puteh cemerlang dengan memperoleh dua pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal lelaki dan 3m papan anjal seirama lelaki apabila bergandingan dengan Gabriel Gilbert.

"Alhamdulillah saya rasa persembahan kami memuaskan malam ini (acara 3m papan anjal seirama) walaupun sedikit kepenatan apabila bertanding dalam dua acara di sebelah pagi dan malam.

"Saya berharap dapat meneruskan persembahan yang baik apabila bergandingan dengan Nur Dhabitah (Sabri) dalam acara 3m papan anjal campuran pada Ahad ini," kata Syafiq yang gembira dengan dua kemenangan podium selepas sebelum ini kemarau pingat dalam kejohanan tahun ini.

Gandingan Syafiq dan Gabriel menjelmakan pingat emas apabila mengumpul 354.18 mata dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki bagi menewaskan gandingan Indonesia, Adityo Restu Putra, Andriyan-Tri Anggoro Priambodo dan gandingan Qatar, Abdalaziz Balghaith-Mohamed Ahmed Shweitar yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.


PENERJUN Negara, Ong Ker Ying dan Loh Zhiayi (tengah) memenangi pingat emas pada acara 3M Papan Anjal Seirama Wanita pada Kejohanan Piala Terjun Asia yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dalam pada itu, gandingan Loh Zhiayi dan penerjun muda, Ong Ker Ying membuahkan hasil apabila merangkul emas dalam acara 3m papan anjal seirama wanita apabila mengumpul 243.09 mata bagi mengenepikan cabaran penerjun Indonesia, Yasmin Linadini dan Maria Natalie Dinda (209.40 mata) yang memperoleh perak dan penerjun Macau, Choi Sut Kuan-Lei Meng Hin (184.14 mata).

"Saya rasa sangat gembira apabila memperoleh pingat emas pertama saya pada Piala Terjun Asia kerana kami sudah cuba melakukan yang terbaik walaupun bukan kemenangan dalam acara individu. Saya berharap kemenangan ini meningkatkan motivasi saya untuk melakukan lebih baik dan mungkin melayakkan diri ke Sukan Olimpik," kata Zhiayi.

Edisi kelapan Piala Terjun Asia yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menawarkan satu tiket ke Sukan Olimpik 2020 bagi pemenang pingat emas acara individu 3m papan anjal lelaki dan wanita serta 10m platform lelaki dan wanita.

Berita Harian X