Selasa, 10 September 2019 | 10:35pm
Pasukan Media Malaysia berjaya mempertahankan Piala Causeway selepas tamat saingan tiga pusingan di Kelab Golf Sentosa, Singapura petang tadi.

Media Malaysia pertahan Piala Causeway

SINGAPURA: Pasukan Media Malaysia berjaya mempertahankan Piala Causeway 2019 selepas tamat saingan tiga pusingan di Kelab Golf Sentosa di sini, petang tadi.

Biarpun pasukan Media Malaysia dan Singapura terikat pada 14 mata, pasukan pelawat selaku juara bertahan diisytihar pemenang.

Malaysia yang memulakan pusingan ketiga acara individu dengan kelebihan mata 8-6 hasil kemenangan dalam acara foursome dan fourballs semalam hanya memerlukan enam mata hari ini untuk mengekalkan Piala Causeway.


Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal menerima Piala Causeway Cup dari ketua pasukan Media Singapura, Darryl Wee selepas berjaya mengekalkan piala tersebut.

Namun, pasukan Media Malaysia ketinggalan apabila tiga pemain utamanya, Mohd Suhaimi Daud (NSTP) , Mohd Aminuddin Azman (Media Prima) dan Mahathir Mohd Sidi (Media Prima), tewas mengejut kepada lawan masing masing.

Bagaimanapun, pasukan Media Malaysia kembali mendahului dengan 11-8 apabila berjaya mencuri tiga mata penting menerusi kemenangan mudah Bayu Adhi Cahyono (Al Jazeera) , Andrew Ng (Golf Malaysia) dan Roy Chandra (Fairway Mag).

Perlawanan semakin getir menuju ke penghujung dan pasukan Singapura berjaya menyamakan kedudukan 11 sama selepas pemain senior mereka, Tim Pinnegar berjaya mengatasi Ahmad Fadali Baharudin (Pristine Works) manakala Thomas Leow mudah menewaskan Brian Alexis (Fairway Mag).


Ketua Pasukan Media Malaysia ceria mempertahankan Piala Causeway.

Pasukan Media Malaysia yang diketuai Arep Kulal yang memerlukan tiga mata, menarik nafas lega apabila Ismadi A Manap (RTM) dan Imran Mohd Nor (Utusan Malaysia) menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan lawan masing-masing.

Zaini Salihin (Media Prima) akhirnya memberikan mata paling berharga untuk kem Malaysia apabila menewaskan pemain berpengalaman Singapura, Edward, di lubang terakhir untuk mata ke-14.

Singapura bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 14 sama apabila perlawanan terakhir antara Alyson dan Rodney Chan (Golf Malaysia) yang berlarutan hingga ke lubang 18 menyaksikan pemain wanita Singapura itu menang.

Meskipun kedudukan seri, pasukan Media Malaysia yang tampil selaku juara bertahan hasil kemenangan di Kelab Golf Glenmarie tahun lalu berjaya membawa pulang Piala Causeway menyeberangi Tambak Johor.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada tahun 2020 dan kejohanan dijangka akan berlangsung di Ipoh, Perak.

Berita Harian X