Rabu, 11 September 2019 | 6:06pm
Presiden Persekutuan Boulse Bocce Malaysia (MSBBF), Razali Wan Zain (tiga dari kiri) pada sidang media Kejohanan Kali Pertama Bocce Remaja Asia Ocenia 2019, Putrajaya. - Foto Samadi Ahmad

Malaysia sasar 2 emas Kejohanan Bocce Remaja Asia Ocenia

PUTRAJAYA: Seramai 39 peserta daripada enam negara akan menyertai Kejohanan Bocce Remaja Asia Ocenia 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 18 (1) di sini, bermula 13 hingga 17 September ini.

Selain Malaysia, lima negara lain adalah Kemboja, Jepun, India, Hong Kong dan Mongolia.

Presiden Persekutuan Boulse Bocce Malaysia (MSBBF), Razali Wan Zain berkata, kejohanan julung kali diadakan itu bertujuan mendedahkan sukan berkenaan di peringkat remaja.

Katanya, dua pasukan negara sudah bersiap sedia untuk menyertai kejohanan itu bagi mendapatkan tempat ke kejohanan remaja dunia di Itali pada tahun depan.

“Biarpun masih baru menyertai sukan itu, pihak kami yakin pasukan muda negara mampu mencipta kejutan untuk merebut dua pingat emas daripada lima kategori di pertandingkan. Dua emas disasarkan itu terdiri kategori perseorangan lelaki dan beregu campuran," katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Zulkifli Abd Ghani dan Presiden Bocce Putrajaya, Salehuddin Marwan.

Razali berkata, selaku tuan rumah peserta Malaysia berpeluang membuktikan kemampuan merebut satu tempat ke kejohanan dunia itu tahun depan biarpun masih baru dalam sukan itu berbanding India, Jepun dan Hong Kong.

Menurutnya, di Malaysia masih ramai yang masih belum mendapat pendedahan mengenai sukan itu yang secara rasmi dibawa ke negara ini dua tahun lalu.

Katanya, cara permainan sukan yang berasal dari Itali itu seakan-akan seperti petanque dan boling padang namun mempunyai disiplin tersendiri.

"Sukan ini dimainkan secara meluas di Eropah dan Amerika Syarikat. Di Asia, ia mula bertapak di beberapa negara dan di Malaysia walaupun baru tetapi mendapat sambutan yang baik.

"Kita sedang berusaha menjadikan sukan ini salah satu acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kelantan dan pada masa ini lapan negeri sudah mempunyai persatuan sendiri," katanya.

Berita Harian X