Rabu, 18 September 2019 | 6:18pm
(DARI kiri) Jurulatih, Holioway Cheah Tek Sen; atlet bowling negara, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane; dan pengurus pasukan, Maradona Chok Khong Yau pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini. - Foto Owee Ah Chun
(DARI kiri) Jurulatih, Holioway Cheah Tek Sen; atlet bowling negara, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane; dan pengurus pasukan, Maradona Chok Khong Yau pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Masih ada peluang buat Shalin

 

KUALA LUMPUR: Ratu boling negara, Shalin Zulkifli dilihat masih berpeluang menyertai temasya Sukan SEA Filipina meskipun skuad negara agak sukar memilih pemain terbaik bagi menggalas cabaran negara pada temasya kali ini.

Jika Shalin terpilih, bermakna dia memiliki harapan untuk menyamai atau memperbaiki rekod bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah sebagai pemenang pingat emas terbanyak Sukan SEA dengan 22 berbanding 20 milik Shalin.

Sehingga kini Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) masih dalam proses penilaian dengan hanya dua pemain sah berkunjung ke Filipina iaitu Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane.

Pengurus pasukan, Maradona Chok Khong Yau menjelaskan, skuad boling negara masih ‘dalam dilema’ memilih pemain terbaik apatah lagi negara sekitar Asia Tenggara seperti Indonesia juga menunjukkan peningkatan.

“Persiapan sudah bermula tapi kami mahu mencari pasukan terbaik. Setakat ini Rafiq Ismail dan Jane sudah terpilih dan yang lain sedang dinilai.

“Kami masih mempunyai perlawanan lain sebelum keputusan dibuat. Pemain akan bertanding di Terbuka Thailand (Boling Jelajah Dunia PBA-WBT 2019, Thailand, Bangkok) dan Shalin akan turut serta,” kata Maradona pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

Maradona menjelaskan, penganjur Sukan SEA masih belum memutuskan corak minyak di permukaan lorong (oil pattern) yang bakal digunakan di temasya itu nanti, sekali gus menyukarkan mereka membuat pemilihan pemain.

Selain itu, Maradona menjangkakan temasya dwitahunan Asia Tenggara itu bakal menjadi antara paling sengit memandangkan hanya lapan pemain (empat lelaki dan empat wanita) akan menyertai temasya di Filipina, berbanding 12 sebelum ini.

“Pencabar kita mungkin pasukan Thailand, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Holloway Cheah menjelaskan Rafiq dan Jane diumumkan lebih awal berbanding pemain lain kerana kedua-duanya memiliki kelebihan bermain di pelbagai permukaan lorong.

Untuk rekod, pada temasya di Kuala Lumpur 2017, Malaysia merangkul tujuh emas, empat perak dan tiga gangsa untuk bergelar juara keseluruhan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X