Khamis, 17 Oktober 2019 | 9:09am
Gambar fail, Patrick Day (kiri) membalas tumbukan Charles Conwell pada perlawanan tinju kategori super welterweight di Chicago, Illionis, minggu lalu. - Foto AFP
Gambar fail, Patrick Day diusung keluar selepas tumbang akibat tumbukan KO pada perlawanan menentang Charles Conwell pada kategori super welterweight, minggu lalu. - Foto AFP

Petinju AS maut akibat tumbukan KO

LOS ANGELES: Petinju Amerika Syarikat, Patrick Day meninggal dunia selepas mengalami kecederaan otak yang serius selepas kekalahan KO kepada Charles Conwell minggu lalu, kata promoter tinju, Lou DiBella dalam satu kenyataan.

Petinju kategori super welterweight (63.5 kg) berumur 27 tahun itu menjalani pembedahan kecemasan selepas Conwell melakukan tumbukan KO pada perlawanan di Arena Wintrust, Chicago pada Sabtu lalu.

“Bagi pihak keluarga, pasukan dan juga mereka yang rapat dengan Patrick, kami berterima kasih terhadap semua doa, sokongan dan kasih sayang yang diberikan buat Pat sejak dia mengalami kecederaan,” kata DiBella.


Gambar fail, Patrick Day diusung keluar selepas tumbang akibat tumbukan KO pada perlawanan menentang Charles Conwell pada kategori super welterweight, minggu lalu. - Foto AFP

Day, yang mengalami koma selepas pembedahan dijalankan di Hospital Northwestern Memorial, menghembuskan nafas terakhir disamping keluarga dan rakannya.

Petinju Amerika Syarikat itu diusung keluar daripada gelanggang selepas tidak sedar diri susulan knockout pada pusingan ke-10 pada Sabtu lalu.

Day adalah petinju ketiga yang meninggal dunia daripada gelanggang tinju pada tahun ini.

Sebelum ini petinju Argentina, Hugo Santillan meninggal dunia pada Julai lalu di Buenos Aires dan dua hari sebelum itu petinju Russia, Maxim Dadashev meninggal dunia di Maryland.

DiBella dalam kenyataannya berkata beliau berharap kematian Day akan menyedarkan penguasa Amerika Syarikat untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sukan itu.

“Ia menjadi semakin sukar untuk menerangkan atau menjelaskan betapa bahayanya tinju pada ketika ini,” kata DiBella. – AFP

 

Berita Harian X