Isnin, 21 Oktober 2019 | 10:12pm
SYED Saddiq menyaksikan penajaan antara Pengerusi Persatuan Badminton Masters Malaysia, Datuk DJ Dave dengan Wakli Yonex, Deepu Sri Kumar (kiri) selepas Majlis Pelancaran Persatuan Badminton Master Malaysia (MMBA), di Galeri Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Turut kelihatan, Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri). NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

MBBA sedia platform atlet veteran bersukan

PUTRAJAYA: Persatuan Badminton Masters Malaysia (MMBA) menyediakan platform kepada pemain veteran untuk merealisasikan minat mereka dalam sukan badminton.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata persatuan ini dapat memastikan legenda dan veteran sukan badminton negara akan terus mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa serta boleh menjadi inspirasi kepada golongan veteran lain untuk kekal aktif dalam sukan supaya mereka dapat hidup cergas.

"Sukan ini milik semua dan golongan veteran juga perlu bersukan untuk memastikan Malaysia kekal aktif bersukan khususnya dalam bidang badminton. Badminton ini sangat dekat di hati rakyat Malaysia dan sukan ini dianggap sebagai sukan Malaysia.

“Umur itu bukanlah penghalang bagi seseorang itu beraktif dalam sukan. Kalau Tun M (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) boleh bergiat aktif dalam sukan pada hujung minggu, pada saya semua masyarakat juga patut bergiat aktif," katanya kepada pemberita selepas pelancaran MMBA di sini hari ini.

Melalui MMBA, setiap ahli yang berdaftar layak menyertai mana-mana kejohanan badminton di peringkat antarabangsa boleh melalui pengurusan dari pihak persatuan agar lebih teratur dan sistematik.

MMBA akan membantu mempromosikan, mengawal dan menyokong pemain senior Malaysia yang berminat menyertai perlawanan serta mengekalkan hubungan sesama pemain di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Pengerusi MMBA, Datuk DJ Dave berkata jika sebelum ini, pemain bergerak sebagai individu, melalui persatuan itu mereka akan bergerak mewakili satu negara iaitu Malaysia.

"Ini adalah cara terbaik (untuk bertanding). Apabila kami pergi bertanding dengan pasukan antarabangsa, kebanyakan mereka datang dengan cara teratur dan seragam," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X