Khamis, 24 Oktober 2019 | 6:01pm
Pengarah Urusan TDS2019, Noraidiazhar Sulaiman. - NSTP/Saddam Yusoff

Pasukan berbasikal terkenal bakal hangatkan saingan TDS2019

SHAH ALAM: Sapura Cycling Team, Kinan Cycling Team dan Team UKYO (Jepun), Kspo Bianchi Asia Pro Cycling Team (Korea Selatan) dan Oliver’s Real Food Racing (Australia) antara pasukan yang akan mewarnai perlumbaan Tour De Selangor (TDS) 2019 pada 18 hingga 22 Disember ini.

Pengarah Urusan TDS2019, Noraidiazhar Sulaiman, berkata penganjuran kejohanan yang masuk kali kedua itu sudah menjemput lima pasukan terbaik Asia untuk menyertai perlumbaan yang akan menjelajah di seluruh sembilan daerah di Selangor.

Katanya, ketika ini pihaknya juga memberi tempoh sehingga 31 Oktober ini untuk pasukan bertanding menyatakan siapa pelumba masing-masing kepada penganjur.

“Sapura sudah mengesahkan pasukan mereka. Laluan kali ini juga ada sedikit perubahan berbanding pada 2017, dengan ada laluan yang tinggi dan pendek.

“Kelainan yang akan buat untuk edisi tahun ini, kita mahu mencari pelumba Raja Bukit manakala secara keseluruhan sebanyak 70 peratus laluan adalah landai,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran serta penyerahan tajaan TDS 2019 Cycling Championship di Hotel Concorde Shah Alam, hari ini.

Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Ditanya mengenai isu membabitkan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan pelumba TDS2019 seperti yang berlaku pada edisi pertama pada 2017, Noraidiazhar berkata, pihaknya lebih memilih pelumba yang disahkan bersih daripada penggunaan bahan terlarang.

Katanya, pihaknya juga berharap pasukan menghantar pelumba yang disahkan bebas daripada menggunakan bahan terlarang.

Beliau berkata, apa yang berlaku pada 2017, pelumba yang dikesan menggunakan bahan terlarang terdiri daripada peserta tempatan dan bukan mereka yang memenangi setiap peringkat perlumbaan.

“Pelumba yang terbabit adalah pelumba yang dipilih secara rawak dan bukan mereka yang naik di podium,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan kelancaran kejohanan, Noraidiazhar berkata, pihaknya mengambil pendekatan membayar semua hadiah yang dipertandingkan kepada pemenang di akhir setiap peringkat.

“Kontraktor juga kita bayar 80 peratus sebelum kejohanan dan baki 20 peratus lagi dibayar selepas perlumbaan.

“Kita juga akan buat ‘live streaming’ perlumbaan. Ketika ini kita buat pendekatan untuk membabitkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) untuk bersama-sama menjayakan kejohanan ini berbanding sebelum ini semua diserahkan kepada kontraktor,” katanya.

Kejohanan anjuran MSN itu mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan; Kerajaan Selangor dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia serta diiktiraf Union Cyclist Internationale (UCI) yang berpusat di Perancis.

Saingan selama lima hari itu akan membabitkan sembilan daerah, bermula di Pulau Indah pada 18 Disember dan berakhir di Shah Alam pada 22 Disember, membabitkan jarak sejauh 716 kilometer.

Berita Harian X