Sabtu, 26 Oktober 2019 | 8:51pm
Javier Gomez dari Sepanyol pada disiplin berenang sempena Kejohanan Ironman Langkawi 2019. - Foto BERNAMA

Gomez ungguli Ironman Langkawi

LANGKAWI: Atlet Sepanyol, Javier Gomez menepati ramalan selaku pilihan utama apabila berjaya memecahkan rekod Ironman Langkawi, sekali gus dinobatkan juara kategori profesional lelaki pada penampilan sulung di sini, hari ini.

Atlet berusia 36 tahun itu, yang menjuarai Kejohanan Triatlon Jarak Jauh Dunia (ITU) 2019, berjaya mengharungi cabaran tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km dengan masa lapan jam 18 minit 58 saat.

Catatan masa itu itu mengatasi rekod peserta Perancis, Roman Guillaume, 33, dengan 13 minit 96 saat yang dicipta pada edisi 2017.

Sebagai juara, beliau menerima hadiah wang tunai AS$5,000 (RM20,930) yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Ia sangat mencabar kerana cuaca sangat panas dan tiada hujan seperti yang diharapkan. Saya juga ketinggalan pada disiplin berbasikal tetapi dapat mengejar pesaing pada disiplin berlari dengan mengekalkan tempo larian.

"Selepas ini saya akan berehat dahulu sebelum meneruskan latihan sebagai persiapan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pengalaman di Ironman Langkawi ini dapat membantu saya apabila di sana," kata Gomez kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Tempat kedua kategori itu dimenangi atlet dari Switzerland, Philipp Koutny, 36, dengan catatan masa 8:24:18s bagi membawa pulang US$2,750 (RM11,511.50) manakala peserta Brazil, Thiago Vinhal, 36, meraih tempat ketiga dengan masa 8:31:15s untuk membawa pulang AS$1,750 (RM7,325).

Sementara itu, bagi kategori profesional wanita, peserta Belanda, Tessa Kortekaas, 31,berjaya menjuarai kejohanan itu dengan catatan masa 9:43:19s.

"Ini adalah tahun pertama saya sebagai atlet profesional dan saya sangat gembira kerana berjaya menamatkan kejohanan di tempat pertama. Saya berlatih untuk kejohanan ini dan usaha itu sangat berbaloi," katanya.

Tempat kedua dimenangi atlet Jepun, Naomi Washizu, 36, dengan masa 9:52:00s manakala atlet dari Republik Czech, Simona Krivankova, 36, di tempat ketiga dengan masa 9:59:27s.

Tiga pemenang wanita itu masing-masing menerima hadiah wang tunai mengikut jumlah sama diterima pemenang lelaki. - BERNAMA

Berita Harian X