Isnin, 28 Oktober 2019 | 3:40pm
Peserta yang menyertai Liga Layar Terengganu Siri 8 di Pulau Duyong. - NSTP/Malik Muhamad
Peserta yang menyertai Liga Layar Terengganu Siri 8 di Pulau Duyong. - NSTP/Malik Muhamad

Pelayar Terengganu idam kuasai SUKMA

KUALA TERENGGANU: Pasukan pelayaran Terengganu serius dalam misi meraih lebih banyak pungutan pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang bakal berlangsung di Johor pada Julai 2020.

Selain itu skuad Terengganu juga berazam mahu mengekalkan status sebagai kuasa sukan pelayaran negara sebagaimana yang diraih pada temasya SUKMA ke-19 di Perak tahun lalu.

Kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan dalam sukan pelayaran itu selepas mengutip lapan emas dan tiga perak manakala pada SUKMA 2016, Terengganu merangkul empat emas, empat perak dan satu gangsa.

Jurulatihnya, Ku Anas Ku Zamil berkata, berdasarkan prestasi semasa serta pencapaian atlet, skuad pelayaran Terengganu mampu mempertahankan gelaran pada edisi ke-20 nanti.

"Kami optimis dengan barisan atlet yang ada ditambah dengan atlet pelapis, Terengganu mampu mengekalkan status sebagai kuasa dalam sukan air itu," kata Ku Anas ketika ditemui selepas berakhir Liga Layar Terengganu Siri 8 di Pulau Duyong, dekat sini semalam.

Dalam kejohanan itu seramai 70 pelayar dari Terengganu, Selangor dan juga pasukan Klang Valley Sailing Club berkampung selama tiga hari di Pulau Duyong bagi menyertai kejohanan itu yang melibatkan pelbagai kategori penting yang bakal dipertandingkan dalam SUKMA 2020 nanti.

Bagi kategori Optimist, kesemua acara disapu bersih sepuluh pelayar Terengganu yang dibarisi Muhammad Fikri Aqil Mohd Fouzi, Muhammad Syazwan Kamaruman, Asmadi Azman, Al Jazimin Afif Zulkiflie dan Nur Faarihah Abdul Rani, Muhammad Adam Aierell Mohd Azizol, Muhammad Nazmi Qusyairi Mohd Nazri, Muhammad Izaan Danial Mohd Nazri, Muhammad Zaquan Afiq Marzuki dan Muhammad Haziq Naufal Abdullah.

“Ini adalah kejohanan terakhir dan penanda aras sebelum Cabaran Monsun Terengganu 2019 yang akan diadakan di Duyung Marina pada 28 November hingga 1 Disember.

“Selain mencungkil bakat baharu, matlamat Liga Layar Terengganu ini adalah untuk memperbanyakkan kejohanan dalaman, pendedahan bagi pelayar baharu, mengenal pasti kelemahan individu, menghilangkan rasa takut dan lebih bersemangat serta  pertandingan yang realistik dengan kejohanan sebenar,” katanya.

 

 

Berita Harian X