Rabu, 6 November 2019 | 7:15pm

Ada pihak didakwa halang Kamarudin tanding presiden MHC

KUALA LUMPUR: Kemelut menjelang pemilihan kepimpinan baharu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memasuki episod baharu dengan ada individu yang didakwa menghalang Datuk Kamarudin Meranun bertanding bagi merebut jawatan presiden.

Pada sidang media di sini, pagi tadi, Jawatankuasa Perundangan MHC mengesahkan Kamarudin yang juga Pengerusi Eksekutif Air Asia Group Bhd tidak layak bertanding bagi jawatan nombor satu selepas hanya mendapat dua pencalonan.

Mengikut perlembagaan MHC, individu yang mahu bertanding merebut jawatan nombor satu badan induk itu perlu mendapat minimum tiga pencalonan. Kamarudin hanya mendapat percalonan daripada Persatuan Hoki Johor (JHA) dan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA).

Mengikut pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra, jawatan presiden MHC kekal disandang Datuk Seri Subahan Kamal selepas mendapat 13 pencalonan sekali gus secara tidak rasmi menang tanpa bertanding. Tarikh tutup pencalonan adalah pada 2 November lalu.

Mengulas perkembangan itu dalam satu sidang media di sini, sebentar tadi, Timbalan Presiden JHA, Datuk Majid Manjit Abdullah, berkata Kamaruddin sepatutnya mendapat pencalonan ketiga daripada Persatuan Hoki Kedah (KHA) sebelum ada individu didakwa menukar senarai calon yang dihantar pada saat akhir.

“KHA menerusi mesyuarat majlis mereka pada 30 Oktober yang lalu sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Datuk Kamarudin sebagai presiden dan senarai calon dihantar kepada MHC menerusi emel pada 1 November.

“Namun, ada pertukaran yang dibuat dalam senarai calon itu pada saat akhir. Saya difahamkan ia buat oleh Presiden KHA (Asmirul Anuar Aris) tanpa pengetahuan timbalan presiden dan setiausaha.

“Untuk pengetahuan semua, Datuk Kamarudin mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi bertanding jawatan presiden. Disebabkan situasi ini, beliau mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi memaklumkan akan menarik diri.

“Beliau kecewa dengan situasi ini kerana beliau benar-benar komited untuk membawa perubahan kepada sukan hoki negara. Sepatutnya beliau diberi peluang untuk bertanding tetapi ada individu yang seolah-olah tidak mahu beliau bertanding,” kata Majid yang juga `orang kuat’ Kamarudin.

Sidang media itu seharusnya menjadi medan buat Kamarudin berkongsi perancangannya bagi membawa perubahan dalam MHC sekiranya dipilih sebagai presiden baharu badan induk itu. Namun, disebabkan konflik yang berlaku, beliau membuat keputusan untuk tidak hadir.

Dalam pada itu, Majid memaklumkan semua calon daripada kem Kamarudin menarik diri daripada pemilihan yang akan berlangsung sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MHC pada 16 November ini.

Ia termasuk dirinya sendiri yang dicalonkan sebagai naib presiden selain calon timbalan presiden wanita, K Maheswari sekali gus menyaksikan penyandang, Prof Datuk Dr S Shamala menang tanpa bertanding.

Selain itu, tiga lagi calon naib presiden iaitu Datuk Ow Soon Kooi, Datuk Che Khalib Mohamad Noh dan Lum Sau Foong.

Malah, Majid berkata, beliau turut difahamkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah akan menyatakan pendirian untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden lelaki.

“KHA sudah memanjangkan perkara ini kepada pejabat menteri dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan bagi menjalankan siasatan. Bagaimanapun, apa jua keputusan sama ada AGM ditangguhkan atau sebaliknya, kami sebulat suara kekal dengan pendirian untuk tidak bertanding,” katanya.

DATUK Kamarudin Meranun. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X