Khamis, 7 November 2019 | 5:30pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Aizuddin Saad

Syed Saddiq tunggu laporan MHC

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu laporan penuh daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkenaan kemelut pemilihan kepemimpinan baharu persatuan itu yang didakwa menghalang Datuk Kamarudin Meranun bertanding merebut jawatan presiden.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau mengikuti apa yang berlaku dan sekiranya wujud salah laku dan ada pihak bermain politik, ia tidak sepatutnya berlaku sehingga ada  pihak dihalang dan dikeluarkan daripada bertanding jawatan tertentu.

Beliau menegaskan, semua persatuan sukan perlu bertanggungjawab untuk membangunkan landskap sukan negara secara bersama melalui  persaingan sihat bagi memastikan individu yang lebih baik dapat berkhidmat dan membangunkan sukan negara.

"Dalam soal ini kita perlu ketepikan soal politik sehingga sampai satu tahap di mana kita tidak boleh membina landskap sukan negara kerana persatuan itu adalah nadi pembangunan sukan," katanya kepada media di sini hari ini.

BH Sukan hari ini melaporkan kemelut menjelang pemilihan kepemimpinan baharu MHC memasuki episod baharu dengan ada individu yang didakwa menghalang Kamarudin yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad daripada bertanding merebut jawatan presiden.

Datuk Seri Subahan Kamal mengekalkan jawatannya menjelang pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 16 November ini.

Ini selepas beliau yang mendapat 13 pencalonan dan secara tidak rasmi disahkan menang tanpa bertanding selepas  Kamarudin hanya memperoleh dua pencalonan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan hanya berperanan sebagai fasilatitor dan persatuan sukan yang bertanggungjawab merancang setiap program akar umbi sehingga berjaya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kemelut itu dapat diselesaikan segera sementara menunggu laporan penuh daripada persatuan termasuk daripada mana-mana pihak yang mengemukakan aduan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saddiq berkata, janji Subahan untuk melepas jawatan atas kegagalan skuad negara menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 biarlah dinilai di peringkat persatuan terbabit dan peminat hoki negara.

"Ini kerana beliau sudah terperangkap dengan janji untuk tidak mempertahankan jawatan sekiranya Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Berita Harian X