Jumaat, 8 November 2019 | 5:52pm
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

KHA buat aduan kepada Menteri, Pesuruhjaya Sukan 

KUALA LUMPUR: Persatuan Hoki Kedah (KHA) hari ini tampil membuat bantahan berhubung kemelut pertukaran nama calon presiden di saat akhir yang menafikan Datuk Kamarudin Meranun bertanding jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Naib Presiden KHA, Thaitchana Muruthi menerusi surat bertarikh 7 November yang dipanjangkan kepada pihak berkaitan, berkata pihaknya berharap satu bedah siasat dapat dijalankan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 16 November ini.

Antara pihak yang dipanjangkan surat berkenaan adalah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Majlis Olimpik Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan.

"Persatuan Hoki Kedah berhasrat mengemukakan aduan rasmi bagi membolehkan siasatan awal dan tindakan yang sesuai diambil berhubung salah laku yang melanggar peraturan serta protokol membabitkan proses pencalonan AGM MHC ke-66," katanya.

Pada masa sama, KHA turut menggariskan kronologi penyerahan borang pencalonan supaya ketiga-tiga pihak berkenaan dapat memahami situasi yang terjadi.

"Sebaik menerima notis AGM daripada MHC, satu mesyuarat majlis tertinggi KHA diadakan pada 30 Oktober 2019. Majlis tertinggi kemudiannya memutuskan individu yang mahu dicalonkan untuk pemilihan MHC.

"Seterusnya borang pencalonan dihantar kepada sekreteriat MHC pada 1 November sebelum emel kedua dihantar 2 November (sehari kemudiannya) kerana berlaku kesalahan ejaan pada bahagian pencalonan presiden," katanya.

Namun, katanya apa yang mengejutkan apabila pihaknya dimaklumkan pada Rabu lalu bahawa berlaku pertukaran borang pencalonan sejurus MHC mengumumkan calon yang akan bertanding.

"Kami percaya ada unsur penipuan dan berharap MHC membatalkan seluruh proses pemilihan ini dan membuat semula proses pencalonan ini.

"Dalam masa sama kami berharap satu panel pemilihan bebas ditubuhkan dalam memastikan keseluruhan proses berjalan dengan telus.

"Kami mahukan campur tangan daripada pihak berkuasa untuk menghentikan proses yang tidak betul ini dan tindakan diambil bagi memastikan imej sukan terus terbela," ujarnya.

Berita Harian X