Selasa, 12 November 2019 | 9:54pm
Pengurus pasukan bola tampar pantai Hean Boon Yeow (duduk kiri) ketika sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Bukit Jalil hari ini. Turut hadir jurulatih bola tampar pantai Thawip Thongkamnerd (duduk kanan). - Foto BERNAMA

Bola tampar pantai intai gangsa di Filipina

KUALA LUMPUR: Skuad bola tampar pantai negara tiada masalah untuk menghadiahkan pingat, sekurang-kurangnya gangsa buat kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Filipina 2019 pada 30 November hingga 11 Disember.

Ini berikutan acara itu hanya akan disertai tiga negara iaitu Malaysia, diikuti juara bertahan Thailand dan pemegang pingat perak dan gangsa pada edisi lalu, Indonesia masing-masing kategori lelaki dan wanita.

Pengurus pasukan, Hean Boon Yeow berkata pada penampilan edisi kali ini, skuad bola tampar pantai menyasarkan dua pingat gangsa bagi pasukan lelaki dan wanita.

“Sasaran kita ialah gangsa untuk kedua-dua pasukan. Di Sukan SEA, Indonesia adalah pemenang pingat perak dan gangsa manakala Thailand adalah juara bertahan untuk beberapa edisi Sukan SEA sebelum ini. Kami jauh ke hadapan dari segi fizikal dan persiapan, ” katanya dalam sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019, di sini hari ini.

Sementara itu, atlet bola tampar pantai wanita Shu Woon Joo berkata skuad negara mendapat sentuhan jurulatih dari Thailand, Thawip Thongkamnerd sejak September lepas.

“Untuk persiapan, kita sudah lebih kurang setahun (berlatih) dan Jurulatih Thawip lebih kurang bulan

September baru datang, jadi kita sudah bersama dalam dua bulan,” katanya.

Skuad bola tampar pantai negara mendapat tonik terbaik apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita muncul juara Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Kebangsaan Singapura.

Untuk rekod, kali terakhir skuad bola tampar meraih pingat menerusi gandingan Luk Teck Hua-Beh Shun Ting yang membawa pulang gangsa pada Sukan SEA 2011 Indonesia.

-- BERNAMA

Berita Harian X