Khamis, 14 November 2019 | 7:43pm

Syed Saddiq yakin trio emas Para bangkit

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin tiga ikon para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mampu bangkit dalam usaha untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Beliau percaya tempoh sembilan bulan yang ada sebelum temasya di Tokyo bermula akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan matlamat itu biarpun ketiga-tiganya gagal meraih emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Mereka ada sembilan bulan lagi, saya tahu mereka ini adalah atlet yang luar biasa,” kata Syed Saddiq pada sidang media ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan kepada atlet paralimpik negara antara FWD Takaful Berhad dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

“Selama ini mereka sentiasa menang dan tidak pernah sekalipun mengecewakan negara dan sebab itu dalam tempoh sembilan bulan ini saya yakin mereka dapat bangkit semula. 

"Secara peribadi, saya tahu semangat mereka adalah luar biasa, apabila mereka bekerja....semangat mereka luar biasa.

"Kalau dahulu mereka ketinggalan jauh ke belakang tetapi masih boleh menang emas, saya pasti tempoh sembilan bulan ini mereka akan bangkit dan mengharumkan nama negara."

Pada majlis itu, perjanjian ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Di Dubai, Ziyad dan Latif  meraih perak menerusi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dan lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) manakala Ridzuan memenangi gangsa acara 100 meter lelaki T36.

Mengulas tentang persiapan khusus buat atlet para negara menjelang Tokyo 2020, Syed Saddiq melontarkan keyakinan kontinjen Malaysia mampu merekodkan pencapaian lebih baik berbanding Rio 2016 yang menyaksikan negara meraih tiga emas menerusi Ziyad, Latif dan Ridzuan.

"Memang kami mengharapkan pencapaian yang lebih baik, itu adalah standard yang perlu ditetapkan MSN dan MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) bagi meraih lebih banyak pingat dan emas buat Malaysia. Daripada aspek perancangan khusus, ia akan menyusul dan jumlah sebenar sasaran akan kita umumkan kemudian," katanya.

Mengenai penajaan sebanyak RM5 juta untuk tempoh 12 bulan daripada FWD Takaful buat atlet Para, Syed Saddiq berkata ia adalah tajaan terbesar yang diraih membabitkan atlet luar biasa negara dan sudah pasti ia menjadi tonik terbaik sebagai persiapan ke Tokyo.

"Seperti yang dijelaskan, ia adalah bagi tujuan peralatan, kos perjalanan dan persiapan ke Tokyo 2020. Ini akan memberi bantuan yang besar kepada kita dan dalam masa yang sama ia mampu memastikan kebajikan atlet kita dapat dijaga sebaik mungikin," katanya.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga, kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful Berhad Salim Majid Zain (empat, kiri) dan Atlet Para yang hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Bersama Majlis Sukan Negara (MSN). - Foto BERNAMA
Berita Harian X