Khamis, 14 November 2019 | 9:31pm
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe (tengah) menyempurnakan gimik Pelancaran Aplikasi e-Tempahan 'GoNet' di Kompleks Sukan Kota Kinabalu. - NSTP/Ryan Stanley

Sabah lancar aplikasi e-Tempahan

KOTA KINABALU: Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) hari ini melancarkan aplikasi e-Tempahan bagi membolehkan tempahan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini dibuat secara dalam talian.

 

Menteri Belia dan Sukan negeri Phoong Jin Zhe berkata, orang ramai yang ingin menempah kemudahan sukan di kompleks berkenaan kini tidak perlu lagi berurusan di kaunter dan hanya menggunakan aplikasi 'GoNet' yang boleh dimuat turun menerusi laman web www.gonet.my.

"Aplikasi e-Tempahan atau tempahan dalam talian ini adalah yang pertama dibangunkan di Sabah bagi tujuan membuat tempahan kemudahan sukan,” kata Jin Zhe.

"Ianya juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melaksanakan perkhidmatan secara dalam talian di semua perkhidmatan yang dikendalikan badan-badan serta agensi kerajaan negeri. 

"Sistem aplikasi tempahan dalam talian ini akan dikendalikan di Ibu Pejabat LSNS secara kawalan berpusat di mana transaksi e-Tempahan, e-Pembayaran serta pungutan hasil pendapatan di semua 15 kompleks sukan di seluruh negeri diselaras oleh satu sistem saja."

Jin Zhe berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran aplikasi berkenaan dan pelancaran logo baharu LSNS di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Pengerusi LSNS, Dr KH Tan dan Pengerusi Aulis Group, Datuk George Anthony Ginibun. 

Jin Zhe berkata, buat masa ini, kemudahan aplikasi e-Tempahan itu akan dilaksanakan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu namun ia akan diperluaskan di semua kompleks sukan seluruh negeri pada tahun depan.

Berita Harian X