Khamis, 14 November 2019 | 9:33pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan untuk menjadi Penaung Diraja Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM). - Foto BERNAMA

Agong Penaung Diraja SAM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan untuk menjadi Penaung Diraja Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM). 

"Dengan perkenan Seri Paduka Baginda untuk menjadi Penaung Diraja SAM ini, ia adalah pengiktirafan tertinggi kepada penggiat media sukan tanahair dan melambangkan minat serta keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap sukan negara yang tidak berbelah-bahagi,” kata Presiden SAM, Jasni Shafie dalam satu kenyataan dikeluarkan SAM hari ini

"Keprihatinan dan minat serta latar belakang KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa memberikan kami keyakinan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku adalah calon paling tanjak dan tepat meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Penaung Diraja persatuan ini."

Penaung SAM sebelum ini ialah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Pada 30 Oktober lalu, SAM menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan hasrat mempersilakan Seri Paduka Baginda untuk menjadi Penaung Diraja persatuan bagi menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sudah menjadi Penaung Diraja yang pertama sejak penubuhan awal SAM.

"SAM berharap melalui perkenan ini, ia akan memberikan semangat dan keyakinan kepada ahli untuk terus membantu pembangunan sukan negara melalui laporan yang berwibawa dan dihormati di media massa.

Sebelum ini, SAM yang menaungi penulis dan pengamal media sukan seluruh negara berbangga apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Majlis Anugerah SAM-100 Plus dan Sambutan Ulangtahun 50 Tahun Penubuhan SAM di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, 10 April lalu.

Berita Harian X