Selasa, 19 November 2019 | 10:03am
KETUA Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa. - Foto Mahzir Mat Isa

LTdL 2020 perlu lebih RM20 juta

SUBANG JAYA: Edisi ke-25 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 bakal memerlukan peruntukan sekitar RM20 juta dengan perlumbaan tahun depan dijadual memasuki Sabah dan Sarawak sebelum kemuncaknya berakhir di Pulau Langkawi. 

"Kami baru saja selesai membincangkan mengenai peruntukan bagi menjayakan perlumbaan tahun depan. Ia tidak kurang RM20 juta dan mungkin lebih kerana keperluan untuk ke Sabah dan Sarawak itu agak besar juga. 

"Itu bukan jumlah muktamad tetapi itulah yang sedang diusahakan sekarang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa selaku penganjur perlumbaan dalam satu pertemuan dengan pihak media, semalam. 

Saingan LTdL 2020 dijadual membabitkan lapan peringkat perlumbaan dan dijangka berlangsung dari 7 hingga 14 Februari depan. 

"Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak membenarkan perlumbaan sehingga 10 peringkat apabila berada dalam kategori Pro Series namun sambutan Jubli Perak tetap berlangsung 10 hari dengan kita merancang perlumbaan kriterium membabitkan pelumba terbaik bagi Bawah 23 tahun yang berlangsung di Kota Kinabalu, sehari sebelum perlumbaan sebenar bermula.

"Malah selepas sehari peringkat terakhir di Pulau Langkawi, kita akan mengadakan perlumbaan sehari dengan menjemput nama-nama besar sukan berbasikal termasuk bekas pemenang LTdL untuk memeriahkannya," kata Ahmad.

UCI sudah mengeluarkan kalendar Jelajah Asia dengan LTdL dijadual berlangsung dari 6 hingga 13 April namun Ahmad menjelaskan mereka sudah mengemukakan permohonan untuk menukar tarikh kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi dipanjangkan kepada badan induk dunia berkenaan supaya dipinda kepada Februari.

LTdL 2020 dijadual bermula di Sarawak bagi peringkat pertama disusuli Terengganu serta bahagian lain di Semenanjung serta berakhir di Pulau Langkawi.

Berita Harian X