Khamis, 21 November 2019 | 11:35pm
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua, kiri) menyerahkan buku Pelan Strategik Pembangunan Esports 2020-2025 kepada Presiden Persatuan Esports Malaysia (ESM) Datuk Ananth S.Nathan (dua, kanan) pada majlis pelancaran pelan itu di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya hari ini. - Foto BERNAMA

KBS lancar Pelan Strategik Pembangunan Esports

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Esports 2020-2025 dalam usaha mengembangkan lagi industri berkenaan supaya dapat 'dirasai' sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. 

Syed Saddiq berkata, pihaknya bersama penggerak utama sukan berkenaan akan membelanjakan sebaiknya RM20 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tahun depan antaranya dengan memperkenalkan liga kebangsaan.

"Pertama kali, kami berbincang bagaimana untuk membelanjakan dana ESports yang diperuntukkan kerajaan pada tahun akan datang. Seperti semua maklum, ada dana bagi sukan Esports dan ada juga untuk industri di bawah MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation) yang berjumlah RM20 juta. 

"Kami nak perkembangkan industri Esports bersama sukan ini. Akan ada liga Esports Kebangsaan yang buat pertama kali bakal dianjurkan dan kami nak pastikan perkembangan Esports ini dirasai semua peringkat bukan saja di kawasan bandar tetapi juga seluruh Malaysia, Sabah, Sarawak, kawasan luar bandar mahupun separa bandar. 

"Dalam masa sama, kami nak pastikan perkembangan industri ini dapat dirancakkan sebab itu kami akan menganjurkan lebih banyak pertandingan peringkat antarabangsa di Malaysia. 

“Dalam tempoh satu tahun akan datang, kita mampu menjadi tuan rumah untuk empat atau lima kejohanan dunia yang berbeza. Ini adalah sesuatu yang besar. 

"Sebelum ini, kita tidak berpeluang menganjurkan satu pun sekarang ini boleh empat atau lima (kejohanan) dan kita mahu meneruskan rentak itu dan pastikan lebih banyak penganjuran Esports di bawa ke Malaysia juga," kata Syed Saddiq kepada media selepas majlis perasmian pelan berkenaan di Universiti Malaya (UM), malam tadi. 

KBS mula merancang mengenai pelan berkenaan sejak Januari lalu dan menekankan lima Strategi Utama meliputi pemegang taruh dalam industri Esports seperti pemain profesional, penggerak industri, pelabur dan agensi kerajaan.

Berita Harian X