Rabu, 27 November 2019 | 9:25pm
ATLET gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi ketika ditemui sebaik tiba di Manila, hari ini. - Foto Osman Adnan
ATLET gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi ketika ditemui sebaik tiba di Manila, hari ini. - Foto Osman Adnan

Farah Ann yakin pertahan pingat emas

MANILA: Atlet gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi berharap pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di bumi Filipina akan membawa tuah buat dirinya yang tampil dengan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA bagi acara senaman lantai.

Atlet berusia 25 tahun itu, berkata dia dan rakan sepasukan yang lain mempunyai tahap keyakinan tinggi untuk memulakan saingan pada temasya kali ini.

“Saya dan rakan yang lain sudah bersedia sepenuhnya dari aspek mental dan fizikal. Dengan acara berpasukan tidak dipertandingkan kali ini, kami fokus sepenuhnya dalam acara individu.

“Sasaran kami bertukar (disebabkan acara berpasukan tidak dipertandingkan) dan masing-masing bersemangat tinggi bagi menyumbangkan pingat buat kontinjen negara,” kata Farah ketika ditemui sebaik tiba di Manila, hari ini.

FARAH Ann bersama rakan sepasukan selamat tiba di Manila, hari ini. - Foto Osman Adnan
FARAH Ann bersama rakan sepasukan selamat tiba di Manila, hari ini. - Foto Osman Adnan

Sebagai rekod, Farah yang sudah melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 memenangi dua emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dalam acara berpasukan selain mengungguli saingan senaman lantai.

Dia juga memenangi emas berpasukan dan senaman lantai pada edisi 2015 di Singapura.

Aksi di Manila akan menjadi penampilan keempat buat atlet kelahiran Selangor sejak kali pertama beraksi pada temasya dwitahunan itu pada edisi 2011 di Indonesia.

Sepanjang penampilannya itu, Farah berjaya memenangi empat emas, dua perak dan tiga gangsa.

“Saya memang teruja untuk temasya kali ini kerana ini akan menjadi kali keempat saya bertanding dan ia cukup istimewa. Diharapkan saya mampu menghadiahkan kejayaan kepada kontinjen negara,” katanya.

Dalam pada itu, Farah juga tidak bimbang dengan beberapa masalah yang timbul pada penganjuran kali ini kerana dia dan rakan sepasukan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Pelbagai langkah sudah kami ambil termasuklah membawa bekalan makanan sendiri. Saya percaya sebarang masalah yang timbul kami boleh atasi dan kami perlu segera menyesuaikan diri,” katanya.

Berita Harian X