Khamis, 28 November 2019 | 6:12pm
KETUA Kontinjen Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin menjawab pertanyaan media ketika tiba pada Sukan SEA Manila 2019. - Foto BERNAMA

Kontinjen negara sedia hadapi ancaman taufan - Megat

MANILA: Kontinjen negara diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga selepas laporan kaji cuaca tempatan menjangkakan taufan akan melanda Filipina dalam minggu ini ketika saingan Sukan SEA 2019 sedang berlangsung.

Ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengakui sudah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) berhubung perkara itu dan memberitahu tuan rumah sudah pun mempunyai ‘Plan B’.

Katanya, sekiranya terjadi venue pertandingan membabitkan acara sukan yang berlangsung di luar akan dipindahkan ke tempat lain.

“Ini adalah sesuatu yang di luar kawalan kita dan tiada siapa pun boleh mengawalnya. Kita berdoa agar ia tidak berlaku.

“Kita bersetuju untuk memindahkan acara sukan yang terbabit. Berdasarkan ramalan mereka ia akan berlaku dalam minggu ini namun ia bukanlah taufan besar kerana kemungkinan hanya lintasan.

“Memang sejak dari awal pun kita sudah dimaklumkan mengenai perkara ini yang mana hujung tahun memang akan berlakunya taufan dan ini sesuatu yang kita tidak boleh kawal,” kata Megat ketika ditemui media sebaik tiba di Manila, hari ini.

Menurut laporan media tempatan, Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) dalam satu kenyataan semalam berkata ribut tropika yang digelar Kammuri di peringkat antarabangsa kini sedang melanda luar Filipina.

Agensi itu meramalkan ia akan bertukar menjadi taufan dan memasuki negara ini pada pagi Ahad ini - sehari selepas upacara perasmian Sukan SEA 2019.

Berita Harian X