Khamis, 28 November 2019 | 7:51pm
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media Majlis Penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Mohd Fadli Hamzah

MSN, MOM percaya Filipina mampu tangani kesulitan

SEPANG: Segala masalah yang timbul sedang diatasi tuan rumah Filipina dan ia dijangka bakal diselesaikan sebelum hari perasmian Sukan SEA ke-30 berlangsung Sabtu ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata antara masalah yang berlaku adalah logistik dan makanan yang dipercayai akan diselesaikan sepenuhnya menjelang hari perasmian meskipun sebahagian atlet negara sudah tiba lebih awal.

"Mengenai makanan halal, masalah banyak berlaku di Manila kerana ramai yang tinggal di hotel penginapan. Sementara di perkampungan sukan tidak ada isu yang timbul.

"Pada masa ini juga hotel tengah mengatasi masalah makanan halal bagi persediaan atlet yang tinggal di situ. Apa pun kita masih sediakan Brahim's (pek makanan segera) sebagai langkah alternatif," katanya selepas majlis penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.   

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata biarpun terdapat beberapa isu yang timbul, kontinjen negara tidak ada membuat aduan secara bertulis kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

"Seperti mana penganjur lain, sudah tentu mereka menghadapi masalah pada permulaannya. Kita belum sampai tahap membuat aduan bertulis, apa yang kita buat adalah pegawai kita berhubung terus dengan PHISGOC supaya mereka mengambil maklum dan menyelesaikan masalah dengan segera.

"Kita percaya sudah tentu dengan kluster pertandingan yang begitu jauh jaraknya, sudah tentu beri masalah pada masa permulaan ini. Namun saya yakin perkara ini dapat diselesaikan dalam mesyuarat tertinggi esok," katanya yang bertolak ke  Clark, Filipina hari ini,

Norza yang akan menghadiri mesyuarat majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), esok berkata beliau akan membawa setiap permasalahan yang timbul berhubung persediaan kontinjen negara ke mesyuarat itu esok.

Berita Harian X