Jumaat, 29 November 2019 | 6:06pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditemui media selepas Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) yang ke 46, di atas Kapal Nippon Maru di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Barat Klang. NSTP/Saddam Yusoff.
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditemui media selepas Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) yang ke 46, di atas Kapal Nippon Maru di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Barat Klang. NSTP/Saddam Yusoff.

Kontinjen negara perlu fokus 70 pingat emas - Syed Saddiq

PELABUHAN KLANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu kontinjen negara di Kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina memberi tumpuan kepada sasaran mencapai 70 pingat emas, berbanding diganggu dengan beberapa isu yang dihadapi mereka di sana ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya sudah menyediakan beberapa pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul.

Katanya, beliau menerima laporan harian daripada sekretariat di Filipina dan laporan rasmi akan dibuat membabitkan sebarang masalah yang timbul melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang kini berada di sana.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), MOM sedang mencuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi atlet dan pegawai yang dihantar ke Filipina ketika ini.

“Kita sudah maklumkan masalah ini kepada pihak penganjur dan kita sudah menyediakan pelan B dan pelan C sebagai contoh masalah daripada segi makanan, kita sudah menerbangkan (makanan) Brahim’s ke sana dan hari ini ada penghantaran kedua.

“Kalau ada masalah, kita akan cari jalan penyelesaian secepat mungkin,” katanya mengulas perkembangan terkini isu kesukaran dihadapi atlet dan pegawai beragama Islam negara yang dalam misi meraih pingat di Kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina, mendapatkan makanan halal.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Selamat Datang Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) di atas Dolphin Hall, Kapal Nippon Maru Terminal Boustead Cruise Centre, Pulau Indah di sini hari ini.

Justeru, Syed Saddiq berkata, atlet, pegawai dan petugas tidak perlu bimbang berhubung isu terbabit kerana masalah ini akan dilalui semua negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada sasaran meraih 70 pingat emas.

Sementara itu, mengulas kehadiran tetamu dari negara Asia Tenggara dan negara matahari terbit itu ke negara ini, Syed Saddiq berkata, program itu platform terbaik mencungkil bakat anak muda dari semua negara yang menyertainya.

“Ini memberi peluang untuk mereka mempelajari perbezaan budaya, untuk melatih bakat kepemimpinan masing-masing mengikut acuan negara tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 330 duta belia dari 10 buah negara ASEAN dan Jepun belayar selama 52 hari di atas Kapal Nippon Maru serta membuat persinggahan di lima negara iaitu Vietnam, Singapura, Myanmar, Malaysia dan Jepun.

Malaysia terpilih sebagai antara lokasi persinggahan bagi Kapal Nippon Maru edisi ke-46 SSEAYP dan peserta akan berada di negara ini selama empat hari bermula 29 November hingga 2 Disember ini serta terbabit dalam aktiviti pertukaran budaya, lawatan sambil belajar dan program keluarga angkat.

Seramai 29 belia Malaysia terdiri daripada seorang Ketua Delegasi dan 28 orang peserta belia pelbagai latar belakang dipilih oleh KBS untuk menyertai program itu.

Berita Harian X