Jumaat, 29 November 2019 | 8:21pm
IBU atlet gimnas Indonesia, Ayu Kurniawati (tengah) bersama peguam.

Gimnas Indonesia digugur kerana 'tiada dara'

KUALA LUMPUR: Seorang atlet gimnastik Indonesia yang berlatih bagi menghadapi temasya sukan utama dihantar pulang ke negaranya atas alasan dia tidak lagi mempunyai dara, dakwa keluarganya semalam.

Begitupun, tuduhan itu disangkal badan induk sukan di Indonesia yang menegaskan penggugurannya adalah berikutan isu disiplin.

Shalfa Avrila Sania, 17, yang dijadual berangkat bagi menyertai temasya dwi tahunan Sukan SEA 2019 di Filipina pada 26 November lalu didakwa disisihkan secara mengejut daripada menjalani latihan sejak pertengahan bulan ini, kata peguam dan keluarganya.

"Jurulatih berkata anak perempuan saya sentiasa keluar pada lewat malam dengan rakan-rakan lelakinya dan siasatan mereka mendapati dia tidak lagi mempunyai dara,” kata ibunya, Ayu Kurniawati kepada Reuters menerusi talian telefon dari Jawa Timur, Indonesia. “Saya terkejut. Saya mahu nama anak perempuan saya dibersihkan.”

Kementerian Sukan Indonesia menafikan tuduhan itu, hari ini dan menegaskan pengguguran itu disebabkan oleh masalah prestasi dan isu disiplin.

“Kami akan mengambil tindakan tegas jika atlet itu dihantar balik berikutan persoalan mengenai keperawanannya kerana ia adalah hak privasi, maruah dan tidak berkaitan langsung dengan prestasi,” kata kementerian itu menerusi kenyataan dalam laporan berita Indonesia, Detik.

Kurniawati menegaskan pengguguran anaknya yang sudah memenangi 50 pingat sejak menyertai sukan berkenaan seawal usia lapan tahun bukan disebabkan oleh masalah prestasi.

Keluarganya juga sudah menghantar surat kepada kementerian bagi membantah pengguguran itu bersama laporan perubatan yang membuktikan selaput daranya masih ada, kata peguamnya, Imam Muklas menerusi telefon. - Reuters

 

 

Berita Harian X