Ahad, 1 Disember 2019 | 9:18pm
Julian meraikan kemenangan pingat emas dalam acara akhir luncur ais lelaki bebas Sukan SEA 2019 di Gelanggang Ski Ais Pusat Membeli Belah SM, hari ini. - NSTP/Osman Adnan

Lagu genre rock bantu Julian raih emas

MANILA: Pemilihan lagu bergenre rock berjaya membantu atlet luncur ais negara, Julian Yee memikat hati juri sekali gus meraih pingat emas pada pusingan akhir di Gelanggang Ski Ais Pusat Membeli Belah SM, hari ini.

Julian mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Kuala Lumpur selepas mengumpul mata tertinggi 202.6 mata sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya, Christopher Caluza dari Filipina yang meraih perak dengan 180.22 mata.

Julian mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Kuala Lumpur selepas mengumpul mata tertinggi 202.6 mata. - NSTP/Osman Adnan

Gangsa menjadi milik atlet Thailand, Micah Kai dengan 174.06 mata.

Julian percaya pemilihan dua lagu bergenre rock berjudul ‘Seven Nation Army’ daripada kumpulan White Stripes dan ‘Highway to Hell’ yang dinyanyikan ACDC’s berjaya menarik perhatian juri dan penonton.

Aksi Julian dalam acara akhir luncur ais lelaki bebas Sukan SEA 2019 di Gelanggang Ski Ais Pusat Membeli Belah SM, hari ini. - NSTP/Osman Adnan

Penyokong kontinjen pasukan Malaysia memberi sorakan kepada Julian. - NSTP/Osman Adnan

“Saya sangat gembira kerana berjaya mempertahankan emas, memenanginya sekali di luar Malaysia menjadikan ia lebih istimewa dan pencapaian terbaik buat saya.

“Saya cuba untuk berinteraksi dengan penonton bagi membolehkan mereka merasakan yang mereka turut meluncur bersama saya.

“Lagu seperti ini mempunyai rentak yang kuat dan mengujakan. Ramai yang tahu lagu ini  berbanding muzik yang sering digunakan untuk sukan luncur ais ini yang lebih klasik,” kata Julian.

Julian mendapat ciuman dari ibunya, Irene Cheow selepas berjaya memenangi pingat emas. - NSTP/Osman Adnan

Julian, berkata dia bangga apabila menjadi penyumbang emas keempat buat kontinjen Malaysia pada hari pertama saingan Sukan SEA.

“Ia permulaan yang baik buat Malaysia di sini, saya gembira dapat menyumbang kejayaan kepada kontinjen negara,” katanya.

Berita Harian X