Isnin, 2 Disember 2019 | 7:12pm
Timbalan Menteri Belia, Steven Sim Chee Keong (kanan) ketika meraikan kejayaan skuad bola jaring negara raih pingat emas di Stadium Santa Rosa Sports Multi- Purpose Complex, hari ini. - Foto BERNAMA

MSN pantau keselamatan kontinjen hadapi Taufan Kammuri

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi Taufan Kammuri bagi memastikan keselamatan kontinjen Sukan SEA negara di Filipina berada pada tahap terbaik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA (PHISGOC).

"Berkaitan Taufan Kammuri di Filipina, saya telah mengarahkan sekretariat MSN di Sukan SEA untuk berada dalam keadaan siap siaga. 

"Kami akan terus memantau keadaan dan berhubung dengan pihak berkuasa Filipina termasuk PHISGOC untuk memastikan keselamatan atlet, pegawai sukan dan semua rakyat Malaysia yang terbabit dalam Sukan SEA pada kali ini.

"Maklumat tentang perkara ini juga disampaikan kepada semua pengurus pasukan agar langkah-langkah bersiap siaga boleh dirancang," katanya. 

Dalam masa sama, Steven Sim juga menegaskan beliau juga sudah memanjangkan hal berkenaan kepada kedutaan Malaysia di Manila.

"Saya juga sudah menghubungi Duta Malaysia di Manila, Tuan Yang Terutama Norman Muhamad untuk memantau keadaan dan menyalurkan nasihat tentang Taufan Kummari dari masa ke semasa," katanya.

Berita Harian X