Isnin, 2 Disember 2019 | 7:21pm
Aksi atlet Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi di Rizal Memorial Coliseum. - NSTP/Osman Adnan

Penonton tempatan suntik semangat Farah Ann

 

MANILA: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi sememangnya memiliki daya tarikan tersendiri.

Sebaik menjejakkan kaki di gelanggang, dia pasti mendapat sorakan luar biasa daripada penonton berbanding atlet lain seolah-olah dirinya cukup popular di Manila.

Sorakan itu jugalah yang menyuntik semangatnya apabila dia memenangi pingat emas acara individu keseluruhan selepas mengumpul mata tertinggi 48.050 di Kompleks Sukan Rizal Memorial, hari ini.


Aksi ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi. - Foto Reuters

“Sebenarnya kami sudah datang ke sini semalam bagi menyaksikan saingan lelaki dan penonton khususnya penonton tempatan cukup luar biasa. Hari ini juga mereka sangat luar biasa.

“Saya agak terkejut dengan sorakan yang kuat daripada penonton kerana sebelum ini tidak pernah lagi dapat sorakan seperti ini. Sebagai atlet, memang kami memerlukan sokongan seperti ini,” kata Farah ketika ditemui selepas tamat saingan.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Indonesia, Rifda Irfanaluthi yang mengutip 47.800 mata manakala seorang lagi gimnas negara, Tan Ing Yueh meraih gangsa dengan 46.900 mata.

Sebagai rekod, ini adalah emas kelima buat Farah pada Sukan SEA dengan dia juga sudah melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain memenangi dua emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dalam acara berpasukan selain mengungguli saingan senaman lantai.

Dia turut memenangi emas berpasukan dan senaman lantai pada edisi 2015 di Singapura.


Atlet gimnastik Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi peraga pingat Emas yang dimenangi dalam acara All Round Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex, hari ini. - Foto BERNAMA

Emas kali ini disifatkan cukup istimewa buat Farah memandangkan ia adalah kali pertama memenangi acara individu keseluruhan dan ia bagai mimpi menjadi kenyataan.

“Saya memang sudah lama mengimpikan untuk memenangi emas dalam acara ini dengan yang paling hampir adalah ketika saya meraih perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura,” katanya.

Pada temasya kali ini dia turut akan mengambil bahagian dalam acara palang bertingkat dan acara kegemarannya senaman lantai.

Berita Harian X