Selasa, 3 Disember 2019 | 5:57pm
Yeoh Li Tian (tengah) raih pingat emas acara rapid chess di Hotel Travelers, sebentar tadi.

Catur bawa pulang emas ke-12

 

SUBIC: Kontinjen Malaysia menambah pingat emas ke-12 Sukan SEA 2019 menerusi Yeoh Li Tian yang memenangi acara rapid chess di Hotel Travelers di sini, sebentar tadi.

Ini adalah kali pertama skuad catur negara meraih emas di temasya dwi-tahunan itu sekali gus memenuhi jangkaan diletakkan ke atas mereka.

Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa ditentukan menggunakan sistem tie-break selepas dia terikat bersama pemenang pingat perak dari Vietnam, Nguyen Ngoc Truong Son 6 1/2 mata.

Namun, kutipan tie-break lebih tinggi menyaksikan Li Tian diumumkan sebagai pemenang ketika Truong Son berpuas hati dengan Perak manakala rakan senegaranya Nguyen Anh Koi meraih gangsa dengan lima mata.

Atlet sukan catur kebangsaan, Yeoh Li Tian meraih pingat emas dalam acara catur rapid di Hotel Travelers, Subic. - NSTP/Aizuddin Saad

Sebagai rekod, skuad catur negara tidak pernah memenangi pingat emas atau perak di Sukan SEA. 

Mereka hanya pulang dengan pingat gangsa pada edisi 2011 dan 2013.

Berita Harian X