Selasa, 3 Disember 2019 | 6:21pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (dua dari kiri) ketika hadir memberi sokongan kepada atlet yang bertanding dalam acara Pencak Silat di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic, hari ini. - Foto BERNAMA

Keadaan akibat Taufan Kammuri masih terkawal

 

SUBIC: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menegaskan keadaan di Filipina masih terkawal daripada ancaman Taufan Kammuri sekali gus memberi jaminan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Malah, beliau mendedahkan pihaknya juga sudah bersiap sedia dengan langkah memindahkan pegawai dan atlet sekiranya keadaan bertukar menjadi buruk.

"Kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak pengurusan kontinjen Malaysia sudah bersiap siaga sejak minggu lalu.

"Jadi MSN dan pihak pengurusan akan memastikan keutamaan kita terutamanya adalah keselamatan atlet dan pegawai pasukan.

"Kita juga selalu berhubung dengan Duta Besar Malaysia di Filipina dan sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

"Kalau keadaan memaksa, kita akan memindahkan atlet secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran Konvensyen Subic, hari ini.

Kehadirannya di situ adalah bagi menunjukkan tanda sokongan kepada kem pencak silat negara yang turun dalam empat acara silat olahraga.

Kammuri dilaporkan mula membadai timur Filipina dengan hujan lebat dan angin kencang sejak pagi tadi, namun setakat ini ia masih menunjukkan signal 2 iaitu angin kencang dan hujan lebat yang mencecah purata 61-120 kilometer sejam.

Ribut itu berada dalam laluan untuk menghampiri Manila, yang mempunyai 13 juta penduduk dan tempat banyak acara pertandingan Sukan SEA.

Gara-gara taufan berkenaan menyaksikan beberapa acara sukan terpaksa ditunda  dan segala aktiviti penerbangan ditangguhkan seketika bagi kawasan yang terbabit.

Berita Harian X