Selasa, 3 Disember 2019 | 7:09pm
Ketua Pegawai Eksekutif AHF, Datuk Tayyab Ikram. - NSTP/Muhaizan Yahya

AHF tak beri muka pada Indonesia

 

CLARK: Hasrat skuad hoki dalam dewan Indonesia menggunakan 'pintu belakang'  untuk membolehkan mereka beraksi di Sukan SEA 2019 tidak kesampaian selepas mentah-mentah ditolak Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Indonesia pada awalnya dilaporkan menarik diri daripada temasya dwi-tahunan terbesar Asia Tenggara itu oleh kerana masalah dalaman persatuan.

Ia dikatakan berpunca daripada pergelutan antara dua persatuan hoki di sana, yang mana satu daripadanya tidak diiktiraf Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Bagaimanapun, Hoki Padang Indonesia (FHI) yang tidak mendapat pengiktirafan tetap menghantar pasukannya ke sini, malah sanggup terbang ke Filipina dengan alasan sekadar 'mencuba nasib'.

Tegas Ketua Pegawai Eksekutif AHF, Datuk Tayyab Ikram, pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan untuk tidak membenarkan skuad hoki dalam dewan Indonesia beraksi.

"Walaupun Indonesia sudah ke Filipina, mereka tidak akan dibenarkan beraksi kerana FIH amat tegas dalam menangani isu ini.

"Sejak dari awal kami di AHF sudah membuat jadual pertandingan, dan memandangkan Indonesia tidak menghantar borang pengesahan penyertaan sebelum tarikh tutup, bermakna mereka tidak boleh mengambil bahagian," kata Tayyab.

Untuk rekod, FIH sebenarnya hanya mengiktiraf Federasi Hoki Indonesia, yang juga ahli gabungan mereka.

Bagi edisi kali ini pasukan lelaki negara muncul pilihan untuk mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi Kuala Lumpur 2017 manakala pasukan wanita dilihat tidak berdepan masalah untuk ke final selepas sekadar meraih gangsa sebelum ini.

Namun, dengan kemunculan mengejut Indonesia di sini semalam, meningkatkan kesukaran buat skuad negara untuk ke final terutamanya bagi pasukan wanita apatah lagi Indonesia adalah finalis 2017.

Malah, mereka muncul antara pasukan pilihan di Sukan SEA Filipina tatkala mereka ke Jelajah Eropah untuk mempersiapkan diri.

Gelanggang hoki dalam dewan di Centro Mall, Los Banos mula membuka tirainya esok.

Berita Harian X