Selasa, 3 Disember 2019 | 7:35pm
Orang awam menggunakan payung dalam suasana hujan lebat susulan Taufan Kammuri melanda sebahagian Filipina ketika tinjauan di Subic. - NSTP/Aizuddin Saad

MAS bantu hantar atlet terkandas

CLARK: Dalam memastikan pemburuan pingat emas tidak terjejas, syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) bakal menerbangkan secara khas baki kontinjen Malaysia yang masih terkandas di Kuala Lumpur.

Ia berikutan semua jadual penerbangan ke Filipina terpaksa dibatalkan sejak kelmarin atas faktor keselamatan ekoran Taufan Kammuri yang melanda negara tuan rumah Sukan SEA 2019 itu.

Justeru itu, Ketua Kontinjen Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mengesahkan pihaknya sudah menghubungi MAS semalam bagi mendapatkan bantuan dan kemungkinan atlet negara akan menaiki pesawat lebih besar iaitu Airbus A330 atau A380.

"Kita juga dah ambil pendekatan dengan MAS untuk membawa beberapa lagi pasukan kita yang sedang tersangkut di Kuala Lumpur.

"Peringkat awal kita dapat berhubung dengan MAS dan kalau semuanya berjalan lancar mereka (MAS) akan membawa atlet pada malam ini.

"Tapi itu juga bergantung kepada cuaca. Kemungkinan besar MAS dah bersetuju membawa pesawat lagi besar, maknanya kalau sebelum ini menggunakan pesawat 737 untuk ke Manila, maka kemungkinan mereka menggunakan Airbus A330 atau A383.

"MAS akan membantu bagi memastikan atlet kita dapat hadir dan bertanding," katanya.

Antara pasukan yang masih 'terkandas' di Kuala Lumpur dan terbabit dengan penangguhan jadual penerbangan adalah skuad olahraga, gimrama, terjun, skuasy dan sukan elektronik.

Seperti diramalkan agensi ramalan cuaca, hujan lebat beserta angin kencang dibawa Taufan Kammuri sudah melanda Metro Manila sejak awal pagi tadi, yang dijangka berterusan hingga lewat malam dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Ekoran bencana berkenaan, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA 2019 Filipina (PHISGOC) sudah menangguhkan beberapa acara terutamanya bagi sukan berlangsung di kawasan terbuka.

Dalam pada itu, Megat mengesahkan PHISGOC akan menanggung semua perbelanjaan untuk penginapan tambahan buat pasukan yang sepatutnya pulang ke tanahair kelmarin.

"Selain masalah untuk atlet datang, atlet kita yang sepatutnya pulang juga dapat diselesaikan dengan baik. PHISGOC memberi jaminan akan menaja atlet kita khususnya penginapan dan makanan yang tidak dapat pulang kerana taufan ini," katanya.

Berita Harian X