Selasa, 3 Disember 2019 | 8:54pm
Tan Fu Jie (tengah) mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu dalam acara kekuda pelana pada Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial, hari ini. - Foto MSN Malaysia

Fu Jie, Farah Ann tambah lagi emas

MANILA: Pengorbanan atlet gimnastik artistik, Tan Fu Jie berbaloi apabila dia mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu dalam acara kekuda pelana pada Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial, hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, dia mengorbankan masa lebih dua jam sehari menjalani latihan tambahan sebagai persiapan menghadapi temasya kali ini.

“Kali ini, latihan saya berbeza berbanding dua tahun lalu di Kuala Lumpur kerana saya menambah masa latihan khususnya sejak sebulan lalu.

“Jadi, pengorbanan ini berbaloi apabila dapat memenangi acara ini sekali lagi. Saya harap kejayaan saya ini tidak berhenti setakat ini saja dan saya akan lipat gandakan usaha untuk kejohanan lain,” katanya.

Fu Jie mempamerkan prestasi membanggakan apabila mencatat 13.967 mata sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya yang juga atlet tuan rumah, Carlo Yulo yang meraih perak (13.233 mata).

Gangsa dimenangi atlet Vietnam, Dinh Phuong Thanh dengan catatan 12.867 mata.

Sementara itu, skuad gimnastik artistik meraih satu lagi emas menerusi Farah Ann Abdul Hadi yang mengungguli saingan palang bertingkat wanita dengan mengumpul 12.367 mata.


Skuad gimnastik artistik meraih satu lagi emas menerusi Farah Ann Abdul Hadi. - Foto Team MAS

Dia mengatasi Huong Do Thi Ngoc dari Vietnam yang mencatat 11.767 mata untuk pingat perak manakala seorang lagi wakil negara, Rachel Yeoh memenangi gangsa dengan 11.767 mata.

Ini adalah emas kedua peribadi buat Farah pada temasya kali ini selepas dia memenangi acara individu keseluruhan, semalam.

Berita Harian X