Selasa, 3 Disember 2019 | 9:20pm
Kuartet dibarisi (dari kiri) Kynie Chan, Anja Chong, Ashley Chin dan Dione Tan mempamerkan prestasi cemerlang dengan catatan masa keseluruhan 4 minit 54.335 saat. - NSTP/Osman Adnan

Kuartet luncur ais tuai emas

MANILA: Walaupun hanya sempat berlatih bersama selama 10 hari, namun itu bukan penghalang buat pasukan luncur ais wanita negara memenangi pingat emas acara 3,000 meter berganti-ganti di Pusat Luncur Ais Pusat Membeli Belah SM, hari ini.

Kuartet dibarisi Kynie Chan, Ashley Chin, Anja Chong dan Dione Tan itu mempamerkan prestasi cemerlang dengan catatan masa keseluruhan 4 minit 54.335 saat.

Indonesia menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 5:03.758s manakala Singapura yang diketuai olimpian, Cheyenne Goh ketiga 5:12.447s.

Diberi jolokan sebagai ratu ais Malaysia, Anja yang juga seorang peguam di United Kingdom hanya menyertai latihan bersama pasukan kurang 10 hari lalu di atas tuntutan kerjayanya.


Pasukan luncur ais wanita negara memenangi pingat emas acara 3,000 meter berganti-ganti di Pusat Luncur Ais Pusat Membeli Belah SM, hari ini. - NSTP/Osman Adnan

Pasukan luncur ais wanita negara memenangi pingat emas acara 3,000 meter berganti-ganti. - NSTP/Osman Adnan

Bagi Anja, kejayaan dalam acara berpasukan itu menebus kekecewaannya yang gagal mempertahankan emas acara 500 meter short trac dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur pada temasya kali ini.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan kejayaan ini. Kami beraksi dengan baik sebagai satu pasukan.

“Rakan sepasukan mula berlatih selepas Kejohanan Kebangsaan manakala saya hanya menyertai pasukan kurang 10 hari lalu dari United Kingdom.

“Kami tahu kami kuat sebagai satu pasukan. Kami hanya fokus untuk meningkatkan kepantasan masing-masing,” kata Anja yang tidak kecewa kerana gagal mempertahankan emas acara 500 meter.

Berita Harian X