Selasa, 3 Disember 2019 | 10:08pm
Steven (kanan) dan Nurul Huda ketika melawat Faizul di Medical City sebentar tadi.

Faizul sebak, kesal tak dapat emas buat negara

CLARK: Pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir sebak dan kesal kerana tidak dapat menyumbang pingat emas buat negara malah tidak sedarkan diri selepas 'tumbang' ketika menentang atlet Filipina, Dines Dumaan, petang tadi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mendedahkan, ketika beliau melawat Faizul di Medical City, di sini, sebentar tadi, Faizul jelas kecewa dengan kejadian itu apatah lagi tidak dapat menyumbang pingat emas kepada negara.

“Saya memberitahu Faizul bahawa beliau sudah pun seorang wira di mata kita. Saya yakin Rakyat Malaysia turut akan berasa bangga dengan usaha dan prestasi beliau selama ini,” katanya.

Menurut Steven, Faizul dikejarkan ke Bay Point Hospital di Subic, Filipina dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kecederaan dialami semasa pertandingan di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay.

Katanya, pesilat itu kemudiannya dipindahkan ke Medical City di Clark untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, beliau bersama Timbalan Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah dan pegawai Majlis Sukan Negara yang lain melawat Faizul di Medical City sebentar tadi.

“Setakat ini Faizul sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan beliau kini sudah sedarkan diri serta berada dalam keadaan stabil. 

“Bagaimanapun, hospital memaklumkan bahawa beliau masih perlu berada di bawah pemerhatian doktor. Saya sudah berbincang dengan Dr Victor, pegawai kluster perubatan pihak penganjur Sukan SEA Manila dan menegaskan bahawa Faizul mesti mendapat khidmat perubatan terbaik di sini.

“Ayuh kita semua doakan kesembuhan buat Faizul ,” katanya.

Faizul mencetuskan suasana panik selepas tidak sedarkan diri ekoran tindakan susulan Dumaan melepaskan tendangan di muka semasa atlet negara berusia 31 tahun itu dalam keadaan terbaring di lantai gelanggang.

Berita Harian X