Selasa, 3 Disember 2019 | 11:03pm
Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (empat dari kiri) dan Pengerusi PGM Tour, Tun Ahmad Sarji (lima dari kiri) bersama enam pemain yang mendapat slot menyertai golf Kejohanan Maybank 2020 di Saujana Golf and Country Club.

6 pemain Asia tenggara sertai Kejohanan Maybank

KUALA LUMPUR: Enam slot sudah diserahkan kepada beberapa pemain terkemuka di rantau ini sekali gus bakal membuat penampilan pada saingan golf Kejohanan Maybank di sini, pada tahun depan.

Buat pertama kalinya, Kejohanan PGM Maybank ADT menawarkan slot kategori Asia Tenggara membabitkan senarai lima pemain teratas saingan berkenaan yang berlangsung di Saujana Golf and Country Club pada 27 hingga 30 November lalu.

Enam tempat itu diberikan kepada juara kejohanan, Nirun Sae-Ueng dari Thailand selain dua rakan senegara, Atiruj Winaicharoenchai dan Suttijet Kooratanapisan serta Choo Tze Huang, Quincy Quek (Singapura) dan George Gandranata (Indonesia).

"Saya tidak menjangkakan mampu muncul juara tetapi sudah pasti saya gembira dengan apa yang saya lakukan," kata Nirun yang turut memenangi Masters PGM Sabah ADT dalam satu kenyataan.

"Saya datang ke sini dengan satu misi iaitu layak ke Kejohanan Maybank. Jadi kejayaan menamatkan kedudukan teratas sesuatu yang cukup hebat.

"Ia sentiasa jadi impian buat saya beraksi di Kejohanan Maybank," katanya.

Dengan menawarkan hadiah bernilai AS$3 juta (RM9.18 juta), Kejohanan Maybank kini muncul kejohanan paling mewah di Asia Tenggara.

Berita Harian X