Rabu, 4 Disember 2019 | 10:25am
TIMBALAN Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah bersama Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin (kiri) melawat atlet pencak silat kebangsaan, Muhammad Faizul Nasir yang kini dalam keadaan stabil selepas beliau tidak sedarkan diri akibat ditendang oleh atlet Filipina, Dines Dumaan ketika ditemui Hospital Pakar Clark City, Clark. - Foto Ihsan Majlis Sukan Negara

Faizul kian stabil, pengawasan 72 jam

CLARK: Keadaan pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir yang dimasukkan ke Hospital Pakar Clark City, semalam dilaporkan stabil selepas menunjukkan perkembangan positif.

Pemenang pingat emas dua kali dalam Sukan SEA itu dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri gara-gara menerima tendangan di muka oleh pesilat tuan rumah, Dines Dumaan.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, berkata Faizul, 31, dijangka keluar dalam tempoh sehari dua lagi bergantung kepada hasil pengawasan rapi pakar perubatan dalam tempoh 72 jam sejak semalam.

"Dia sudah sedarkan diri dan boleh bergerak cuma doktor minta untuk terus mengawasi keadaannya bagi tempoh 72 jam.

"Pakar saraf juga sudah melihat keputusan x-ray dan ujian imbasan imej resonance magnetic (MRI), dan saya difahamkan memang ada kecederaan sedikit pada bahagian tisu di lehernya.

"Lain-lain semua OK yang mana dia tidak mengalami pendarahan atau patah... Memang dia sudah sedar dan boleh mula makan," katanya.

Dalam aksi di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay  semalam, Faizul tumbang 5-0 kepada Dumaan sekali gus gagal meraih hatrik pingat emas Sukan SEA dalam acara tanding putra kelas B.

Jefri turut mengesahkan bahawa pada jam 5 petang ini, Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen Malaysia, Dr Arshad Puji akan bertemu dengan pakar saraf yang merawat Faizul bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkembangan pesilat berkenaan.

Berita Harian X