Rabu, 4 Disember 2019 | 6:01pm
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kanan). -NSTP/Aizuddin Saad

'Jangan cari alasan gagal capai sasaran'

 

CLARK: Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina diingatkan supaya tidak menjadikan isu penangguhan jadual penerbangan dan perubahan jadual pertandingan sebagai alasan gagal mencapai sasaran 70 pingat emas.

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata ini kerana bukan saja atlet negara yang terjejas dengan kehadiran Taufan Kammuri yang membadai Timur Filipina sebaliknya tempias itu turut dirasai kontinjen lain.

"Ia bukan berlaku ke atas kontinjen Malaysia saja tetapi juga kepada negara-negara lain berikutan lapangan terbang ditutup seketika.

"Ancaman taufan adalah di luar kawalan kita. Apapun saya perlu berterima kasih kepada penganjur yang pantas bertindak," katanya sejurus meraikan kejayaan pasukan boling padang negara memenangi pingat emas dalam acara fours lelaki.

Malah, Megat percaya tiada keperluan untuk menangguhkan acara sukan seperti olahraga mahupun karate selepas atlet dari sukan berkenaan belum tiba di Filipina.

Olahraga dan karate masing-masing dijadualkan membuka gelanggang pertandingan pada Jumaat dan Sabtu ini.

"Ada yang dah sampai, macam olahraga dan karate sudah bertolak pagi tadi. Jadi, rasanya tiada keperluan untuk tambahan hari.

"Itu bukanlah alasan sebab saya sudah beritahu pada atlet bukan saja kita yang kena tempias taufan tetapi semua negara juga berdepan masalah sama. Jangan jadikan ia sebagai alasan.

"Saya sentiasa percaya pada kemampuan atlet Malaysia sebagai contoh boling padang mereka berjaya buktikan masalah padang bukan halangan untuk memenangi emas," katanya.

Berita Harian X