Rabu, 4 Disember 2019 | 7:49pm
Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi ketika beraksi dalam disiplin senaman lantai gimnastik artistik di Coliseum Rizal Memorial. Farah berjaya merangkul pingat emas. - NSTP/Osman Adnan

Farah Ann tutup tirai dengan emas ketiga

 

MANILA: Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi menutup tirai kempen Sukan SEA 2019 dengan penuh bergaya apabila membawa pulang tiga pingat emas dari bumi Filipina.

Selepas mengungguli saingan individu keseluruhan dan palang bertingkat, atlet berusia 25 tahun itu membuktikan kehebatannya apabila mempertahankan emas acara senaman lantai di Kompleks Sukan Rizal Memorial, hari ini.

Dia yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengutip 12.600 mata sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya dari Indonesia, Rifda Irfanaluthfi yang mencatat 12.333 mata untuk meraih perak.

Gangsa menjadi milik atlet Vietnam, Tran Doan Quynh Nam dengan catatan 12.033 mata.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri) bergambar bersama Penerima Anugerah Olimpian Tahunan MOM 2019, Loh Choon How (dua dari kanan) dan Farah Ann Abdul Hadi (kanan) pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah MOM Ke-26 yang diadakan di Grand Ballroom, Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, sebentar tadi. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bagi Farah, ini adalah pencapaian terbaiknya sepanjang penampilan Sukan SEA dan menyifatkan kejayaan kali ini sesuatu yang cukup istimewa.

“Ia sesuatu yang mengujakan dengan pencapaian ini. Selepas kemenangan semalam (emas palang bertingkat) saya hanya mahu melakukan yang terbaik.

“Saya ada buat kesilapan hari ini tetapi saya menang akhirnya. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong terutama keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan, tanpa mereka saya tiada di sini,” kata Farah.

Sebagai rekod, ini adalah emas ketujuh buat Farah pada sepanjang aksi di Sukan SEA.

Berita Harian X