Khamis, 5 Disember 2019 | 11:49am

Faizul luah rasa hiba selepas 'tragedi pitam'

CLARK: Selepas stabil dan dibenarkan keluar daripada Hospital Pakar Clark City, hari ini pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir  akhirnya meluahkan perasaan hibanya menerusi akaun peribadi Facebook miliknya.

Malah, atlet berusia 31 tahun itu mengakui tidak tahu apa akan terjadi kepada dirinya sekiranya pegawai perubatan di gelanggang silat Pusat Konvensyen dan Pameran Subic terus lewat mengejarkannya ke hospital.

"Mohon maaf kerana tidak jadi sebagai penyumbang pingat untuk Sukan SEA kali ini. Aku bukanlah atlet yang boleh dibanggakan dan juga ketua pasukan yang bagus. Siapa tidak kecewa apabila tidak dapat meneruskan perlawanan yang tiba tiba ‘BLACK OUT’. 

"6 jam tak sedarkan diri. Kalau pasukan perubatan Filipina lambat lagi tak tahu terjadi kepada saya ini.

"Apabila Sedar saya sudah selesai MRI di Hospital yang ketiga dengan (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Steven Sim dan Timbalan Ketua Kontinjen, Puan Nurul Huda yang ada pada ketika itu. 

"Mereka uruskan semua urusan di hospital dengan baik termasuk membantu isteri dan ibu mentua memberikan semua kelengkapan kerana (saya terlantar di hospital) yang sangat jauh dari hotel asal," tulisnya pagi tadi.

Nasib malang menimpa Faizul pada Selasa lalu apabila dia terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan selepas tidak sedarkan diri ketika menentang atlet Filipina, Dines Dumaan, di Pusat Konvensyen dan Pameran Teluk Subic, gara-gara kecederaan serius yang dialami.

Bekas pemenang emas Sukan SEA 2017 itu, berkata dia juga sudah tidak sabar untuk turun memberi sokongan kepada rakan senegaranya, Zulfazly Zulfakar yang turun dalam acara final tanding putra kelas D, hari ini.

"Yang lain masih meneruskan perjuangan di tempat pertandingan kerana masih ada pesilat Malaysia yang berlawan. Timbalan ketua kontinjen negara ada bertanya: 'Mungkin ada sesuatu yang awak mahu saya bantu?

"Saya tidak perlukan apa-apa saya hanya mahu memohon maaf kerana gagal menyumbangkan pingat untuk negara.

“Mungkin dia tahu bagaimana saya rasa ketika ini dan turut mengalirkan air mata," katanya.

Berita Harian X