Khamis, 5 Disember 2019 | 1:14pm
Pesilat negara, Zulfazly mengulangi kejayaan bapanya, Zulfakar Abdul Majid yang memenangi pingat emas Sukan SEA 1991 apabila mengungguli Kelas Tanding D (60-65kg) semalam. Gambar kecil Zulfazly bersama bapanya. - Foto Ihsan Majlis Sukan Negara

Zulfazly jejaki langkah bapa tuai emas di Manila

CLARK: Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi! Itu pepatah boleh digambarkan atas kejayaan pesilat negara, Zulfazly Zulfakar yang memenangi pingat emas sulungnya di Sukan SEA, hari ini.

Lebih manis, kejayaan itu dilakar dalam penampilan sulungnya di temasya dwi-tahunan itu sekali gus mengikut jejak langkah bapanya, Zulfakar Abdul Majid, yang memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina 1991.

Berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay, tengahari tadi, Zulfakar bagaimanapun terpaksa 'bermandi peluh' selepas dipaksa bekerja keras oleh pencabar negara jiran Indonesia, Kusumah Hanifan.

Namun, pada akhirnya dia muncul pemenang aksi final acara Tanding Putra kelas D selepas berjaya mengatasi lawannya 3-2 untuk memastikan kem silat negara mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan.

Dalam aksi separuh akhir menentang pesilat Vietnam, semalam dia cemas sebelum meraih kemenangan 3-2 sambil mengalami sedikit kecederaan di bahagian mulut.

Ia adalah pingat emas ke-22 kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA setakat ini.

Berita Harian X